Rabu, 26 November 2014 | 3:10pm
Babak menarik dalam filem Manisnya Cinta Di Cappadocia.
Babak menarik dalam filem Manisnya Cinta Di Cappadocia.
Babak menarik dalam filem Manisnya Cinta Di Cappadocia.
Babak menarik dalam filem Manisnya Cinta Di Cappadocia.
Babak menarik dalam filem Manisnya Cinta Di Cappadocia.

Fazura serap pengalaman cinta dalam Manisnya Cinta Di Cappadocia


Babak menarik dalam filem Manisnya Cinta Di Cappadocia.

KUALA LUMPUR: Buah tangan kelima Bernard Chauly berjudul Manisnya Cinta Di Cappadocia yang akan ditayangkan mulai 11 Disember ini boleh disifatkan sebuah filem romantik komedi yang mesti ditonton.

Filem terbitan Global Station, Astro Shaw dan Red Films ini diadaptasi dari novel Alaf 21 nukilan Anis Ayuni.

Fazura cukup menyerlah membawakan watak utama sebagai Ifti Liyana. Pelbagai rasa dapat dirasai saat pelakon cantik itu menterjemahkan sisi Ifti.

Ifti wanita bekerjaya yang sentiasa ceria dalam hidup dan persahabatan selain memiliki sifat keibuan sebenarnya berperang dengan diri sendiri dalam mencari kebahagiaan. Kisah cintanya tak kesampaian hinggalah bertemu Nazmi lakonan Shaheizy Sam.

Ia gandingan kedua Fazura dan Shaheizy Sam selepas drama Kisah Cinta yang pernah disiarkan TV3 sebelum ini. Fazura ketika ditemui selepas pratonton filem berkenaan diadakan malam tadi mengakui air matanya berjuraian ketika menyaksikan watak babak putus cinta.

Fazura sendiri memberi warna kepada karakter Ifti, malahan mengakui mempunyai beberapa persamaan dengan dirinya.

"Ifti juga seperti saya yang lebih matang kini selain tenang. Saya banyak serap pengalaman benar diri dalam percintaan contohnya. Saya kini juga tidak mahu lagi mengenang perkara lalu dan pandang ke hadapan sekali gus meneruskan kehidupan.

"Dengan apa yang saya pernah lalui tak kira dalam kerjaya atau peribadi, saya tidak mahu terus di takuk lama. Saya ada keutamaan yang perlu diutamakan dalam hidup ini," katanya.

Sementara itu, Anis Ayuni yang turut hadir pada sesi pratonton memberitahu Bernard dan pasukan produksinya sudah melakukan yang sehabis baik untuk menghidupkan karya nukilannya ke layar perak.

"Karya yang diadaptasi dari novel ke filem memang terbatas dengan durasi masa. Jadi banyak babak dalam novel tidak dapat dimuatkan ke versi filem. Saya faham. Tapi pujian harus diberikan kepada Bernard dan pasukannya dalam mewarnakan filem ini.

"Saya berharap selepas filem ini ditayangkan akan lebih ramai penonton wayang membeli novel ini di pasaran," katanya.

Manisnya Cinta Di Cappadocia turut membariskan pelakon hebat seperti Lisa Surihani, Ogy Ahmad Daud, Normah Damanhuri, Zaibo, Aida Rahim, Eja, Faizal Hussein, Rafidah Abdullah dan ramai lagi.

Ikut novel, latar tempat bukan di Cappadocia, Turki sebaliknya Mesir. Tapi atas beberapa sebab, pihak produksi memilih untuk menjalani penggambaran di Cappadocia apatah lagi Turkish Tourism turut memberi kerjasama erat dalam memudahkan penggambaran di sana.

37 dibaca
Berita Harian X