Ahad, 2 Oktober 2016 | 6:50am
HASSAN menunjukkan Sijil Kelayakan Malaysia (MOA) untuk melaksanakan program APEL pada sidang media di UiTM, Shah Alam.

UiTM iktiraf pengalaman kerja sambung pengajian

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) menjadi universiti awam pertama di negara ini yang mengiktiraf pengalaman pekerja pemohon untuk melanjutkan pelajaran di semua peringkat pendidikan tinggi.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata menerusi program Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) itu, pengalaman bekerja dijadikan sebagai kredit kelayakan, sekali gus memberi peluang kepada individu berkerjaya menyambung dan menamatkan pengajian.

"Peluang menuntut ilmu kini lebih terbuka. Disebabkan pemohon adalah mereka yang bekerja, jadi cara pengajian lebih fleksibel dan tidak terikat dengan pengajian sepenuh masa seperti selalu.

Peluang lanjut pelajaran

"APEL memberi peluang kepada sesiapa sahaja melanjutkan pelajaran sama ada pada peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana sehinggalah doktor falsafah.

"Malah, pemohon yang memiliki ijazah sarjana muda boleh terus melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah, tetapi dengan syarat pemohon melepasi semua ujian dijalankan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hassan berkata, pemohon akan menjalani ujian kebolehan, kompetensi, kesediaan melanjutkan pelajaran, pengetahuan am dan pengalaman pembelajaran terdahulu (formal dan tidak formal), termasuk akan ditemuduga.

"Namun, tahap ujian APEL adalah berbeza bergantung kepada peringkat lanjutan dimohon. Semua fakulti menawarkan APEL kecuali fakulti perubatan, kejuruteraan dan undang-undang selain terdapat syarat ketat perlu dipatuhi," katanya.

Berita Harian X