Ahad, 2 Oktober 2016 | 9:28pm

Trump elak cukai selama 18 tahun?


Donald Trump

WASHINGTON: Donald Trump mengisytiharkan kerugian sejumlah AS$916 juta (RM3.7 bilion) pada borang nyata cukai pendapatan 1995, membolehkan beliau secara sah mengelakkan diri dari membayar cukai selama beberapa dekad, lapor The New York Times lewat semalam.

Isu sensitif itu penting kerana selama ini Trump enggan mendedahkan rekod cukainya, sesuatu yang lazim dilakukan setiap calon presiden Amerika Syarikat atas nama ketelusan.

Penyata cukai 1995 Trump yang sebelum ini tidak didedahkan menunjukkan "faedah cukai luar biasa" akibat beberapa kegagalan dalam pengurusan kewangan pada 1990an membabitkan tiga kasino di Atlantic City, syarikat penerbangan dan Plaza Hotel di Manhattan, lapor The Times.

Walaupun pendapatan boleh cukai Trump pada tahun-tahun berikutnya tidak diketahui, "kerugian sebanyak AS$916 juta (RM3.7 bilion) pada tahun 1995 sudah cukup besar untuk menghapuskan lebih daripada AS$50 juta (RM206 juta) pendapatan boleh cukai setahun, selama lebih 18 tahun," kata laporan itu.

Kempen Trump mengeluarkan kenyataan yang tidak menyatakan mengenai kerugian AS$916 juta (RM3.7 bilion) itu.

"Trump adalah seorang ahli perniagaan yang sangat mahir yang mempunyai tanggungjawab fidusiari ke atas perniagaan, keluarga dan pekerjanya untuk membayar cukai tidak lebih daripada apa yang tertakluk di bawah undang-undang," kata kenyataan itu.

"Trump sudah membayar beratus-ratus juta dolar dalam bentuk cukai harta, cukai jualan dan cukai eksais, cukai hartanah, cukai bandar, cukai negeri, cukai pekerja dan cukai persekutuan," katanya.

Kempen Trump menuduh The Times sebagai "lanjutan daripada Kempen Clinton, Parti Demokratik dan kepentingan khusus global." - AFP

86 dibaca
Berita Harian X