Selasa, 4 Oktober 2016 | 8:43pm

AMAR bantu JAIS cegah jenayah syariah

gn4id:16572601

SHAH ALAM: Aplikasi AMAR atau Hotline JAIS yang dilancarkan hari ini diyakini dapat memperkasakan bahagian penguatkuasaan dan pencegahan perbuatan jenayah syariah dalam masyarakat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim, berkata aplikasi berkenaan juga akan memudahkan masyarakat melaporkan sebarang aktiviti yang dilarang agama seperti khalwat dan penyebaran ajaran sesat dengan lebih cepat dan mudah.

"Jika dulu masyarakat terpaksa menghubungi kami untuk membuat laporan dan terpaksa melalui proses yang lama untuk pengesahan maklumat, bagaimanapun dengan adanya aplikasi ini mereka boleh memberi maklumat dengan lebih cepat dan pegawai penguatkuasa akan bertindak dalam tempoh 24 jam.

"Pengadu juga tidak perlu bimbang untuk memberi maklumat peribadi kepada kami ketika membuat aduan atau menjadi saksi kes yang mereka laporkan kerana maklumat berkenaan akan dilindungi," katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Aplikasi AMAR Jais dan Ikonografi Bergerak di sini, hari ini.

Beliau berkata, tujuan aplikasi berkenaan dibina lebih tertumpu kepada langkah pencegahan kerana menurutnya jika aduan boleh dibuat dengan lebih mudah, pelaku juga akan takut untuk melakukan perbuatan berkenaan.

"Bagaimanapun, saya berharap masyarakat tidak menyalahguna aplikasi ini dengan melaporkan insiden yang tiada kaitan dengan JAIS selain memberikan maklumat yang lengkap mengenai kes yang dilaporkan," katanya.

Haris berkata, aplikasi berkenaan boleh dimuat turun secara percuma melalui aplikasi 'Android on Google Play' di Google Play Store dan Apple Apps Store.

Sementara itu, JAIS turut melancarkan tujuh buah kenderaan dengan paparan diskripsi untuk mempromosikan aplikasi terbabit selain menyampaikan dakwah.

"Kod QR juga dipaparkan di kenderaan ikonografi untuk memudahkan orang ramai memuat turun aplikasi berkenaan serta mengetahui perkembangan terbaharu JAIS," katanya.

Berita Harian X