Rabu, 5 Oktober 2016 | 3:23pm

Operasi resort, chalet pulau Terengganu mula ditutup

gn4id:16604021

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengarahkan semua resort dan chalet di pulau peranginan di negeri ini ditutup secara berperingkat kepada pelancong mulai bulan ini hingga awal Januari.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, berkata penutupan resort dan chalet itu dilakukan bagi mengelak kejadian tidak diingini, berikutan musim tengkujuh dan Monsun Timur Laut.

Beliau berkata, pengusaha resort dan chalet diminta melakukan kerja penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan penginapan sepanjang penutupan selama empat bulan.

"Kedatangan pelancong ke Pulau Perhentian semakin berkurangan walaupun masih boleh beroperasi.

"Kerajaan negeri meminta semua pengusaha resort dan chalet mengutamakan keselamatan pelancong dengan memberi nasihat serta cadangan aktiviti boleh dilakukan jika ada pelancong datang secara berkumpulan atau mengembara secara solo," katanya ketika ditemui pada majlis angkat sumpah Datuk Bandar dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sini, hari ini.

Bekas Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Zulkifli Abu Bakar, mengangkat sumpah memegang jawatan Datuk Bandar Kuala Terengganu dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

Turut hadir Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.

Pulau Redang mempunyai 17 hotel dan resort, Pulau Perhentian Kecil (28), Pulau Perhentian Besar (19), Pulau Kapas dan Pulau Gemia (sembilan) dan masing-masing tiga di Pulau Tenggol serta Pulau Lang Tengah.

Berita Harian X