Khamis, 6 Oktober 2016 | 9:33am

Bukti kaitkan zika dengan gangguan saraf - Kajian

GAMBAR fail, pesakit menghidapi sindrom neurologi Guillain-Barre yang dikaitkan dengan virus Zika di wad neurologi, Hospital Kebangsaan Rosales di San Salvador, pada 27 Januari 2016. - Foto AFP

MIAMI: Penyelidik menemui lebih banyak bukti mengaitkan virus zika dengan gangguan saraf dikenali sebagai sindrom Guillain-Barre, tetapi bukti punca dan kesan masih sukar difahami.

Hasil kajian dalam Journal of Medicine berdasarkan penyelidikan di enam hospital berbeza di Colombia, membabtikan 68 penghidap sindrom itu, yang kebanyakannya menunjukkan gejala jangkitan zika sebelum itu, termasuk ruam, demam, sakit kepala dan sakit mata.

Selepas analisis kes berkenaan, penyelidik di Universiti Johns Hopkins melaporkan 'bukti paling kuat setakat ini' yang ada kaitan dengan Guillain-Barre, gangguan pada sistem saraf yang boleh menyebabkan lumpuh.

Hampir separuh daripada peserta kajian 'mengadu menghidap gejala saraf dalam masa empat hari selepas dijangkiti zika', menurut kajian, menyatakan tindak balas amat pantas dibandingkan dengan mereka yang menghidapi sindrom itu selepas jangkitan lain seperti selesema atau herpes.

Keseluruhan 46 pesakit disahkan menghidap Guillain-Barre selepas menjalani ujian saraf elektrodiagnostik, dan kebanyakannya mempunyai jenis tertentu yang menjadikan jangkitan menyerang sel perlindungan dikenali myelin, yang melindungi permukaan gentian saraf.

Guillain-Barre wujud pada kira-kira satu dalam 100,000 orang dan selalunya dikesan beberapa hari hingga beberapa minggu selepas jangkitan virus atau bakteria.

Apabila ia menyerang, sistem imun individu akan menyerang sarung myelin yang melindungi sel saraf tubuh, menyebabkan kelemahan otot, kesakitan, kemerosotan deria, dalam kes paling teruk, menyebabkan kelumpuhan.

Pakar masih tidak tahu mengapa ia menyerang sebahagian orang dan sebahagian lagi tidak mengalaminya. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X