Khamis, 6 Oktober 2016 | 12:56pm
Kumpulan Brothers, dari kiri; Faiz, Salleh, Yassin dan Syah. - Foto Munira Abdul Ghani

Anggota Brothers, Mohd Salleh koma akibat serangan jantung


Salleh dari kumpulan Brothers kini dirawat di PPUM.

KUALA LUMPUR: Keadaan anggota Brothers, Mohd Salleh Mohamed Deril, 40, yang dilaporkan koma disebabkan serangan jantung semalam, meraih perhatian beberapa rakan artis.

Antaranya, penyanyi, Hafiz Hamidun dan Heliza Helmi dilihat memuat naik status di laman sosial mereka mengenai keadaan Salleh yang juga bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Difahamkan, Salleh yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), petang semalam, tidak mempunyai perlindungan insurans.

Hafiz berkata, dia diberitahu keadaan Salleh agak kronik dan bergantung kepada tiub pernafasan.

"Sebagai rakan, kami cuba membantu Salleh dengan menyebarkan keadaan kesihatannya. Bagi mereka yang mengenali Salleh atau tidak, diharap dapat menganjurkan solat hajat selain mendoakan kesejahteraannya," katanya kepada BH Online.

Hafiz turut gusar kerana diberitahu Salleh tidak mempunyai perlindungan insurans.

"Sudah tentu keadaan ini menyukarkan. Kami cuba meringankan beban dengan membantu selagi termampu.

"Andai ada pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh terus menyumbang kepada akaun isterinya," katanya.

Bagi sesiapa yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan kepada akaun CIMB Islamik bernombor 7601567424 di bawah nama Shalwiza Eza'an.

Selain Salleh, Brothers yang terkenal sebagai kumpulan nasyid kontemporari, turut membariskan Syah, Yasin dan Faiz.

Brothers ditubuhkan pada tahun 1995.

13 dibaca
Berita Harian X