Khamis, 6 Oktober 2016 | 4:14pm

Fizie akui pemalu, namun makin selesa dengan perhatian


PENYAMPAI radio Hot FM, Haziq (kiri), Ajak (tengah) dan Fizie (kanan) memeriahkan suasana pada program Hot FM Dekat Je Tour di Mydin Bukit Mertajam. - Foto Mikail Ong

KUALA LUMPUR: Lima tahun bergelar penyampai radio Hot FM, Fizie menyifatkan dirinya semakin selesa dengan segala perhatian diberikan terhadapnya.

Malah, menurut personaliti terbabit, dirinya juga mula membiasakan diri dengan tumpuan yang diterima, apatah lagi beliau kini turut berada di depan kamera mengendalikan rancangan Muzik Muzik bersama Fara Fauzana.

Biarpun mengaku lebih serasi berada di konti, namun Fizie atau nama penuhnya Mohamad Hafizie Roslan tidak menolak rezeki menjadi pengacara program televisyen kerana ia sudah pasti mempertingkatkan keupayaan dirinya di bidang penyiaran.

"Perkembangan kerjaya saya dapat disaksikan di konti radio dan alhamdulillah, semakin hari ia dirasakan semakin stabil. Sejak enam bulan lalu pula, saya mendapat pasukan baharu yang terdiri daripada Ajak dan Haziq, selain diri saya sendiri.

"Saya juga semakin membiasakan diri dengan perhatian apabila mula muncul di kaca TV mengendalikan program Muzik Muzik. Sememangnya, saya sendiri seronok apabila berpeluang berjumpa dengan orang ramai.

"Selain itu, saya turut menjadikan pendengar sebagai kawan. Kadang-kadang apabila mempunyai kesempatan, saya mengajak mereka melepak dan makan bersama-sama. Daripada kesempatan sedemikian, saya berusaha mendapatkan input atau maklumat berguna daripada mereka," kata Fizie kepada BH Online.

Daripada pergaulannya dengan pendengar jugalah, kata lelaki berusia 28 tahun ini, beliau dapat mengkaji dan menyelidik apa yang mereka inginkan ketika mendengar radio.

"Input mereka amat penting untuk saya memperbaiki kandungan dan cara pengendalian," katanya.

Ditanya mengenai strategi beliau untuk terus menyerlahkan nama di persada seni, Fizie mengaku dirinya lebih selesa andai rakan seperjuangan lain yang ke hadapan.

"Biarlah saya berada di belakang. Saya sentiasa memberikan sokongan kepada kawan-kawan di radio yang sudah ke hadapan dan dikenali ramai termasuk menjadi hos televisyen.

"Saya lebih suka dengan keadaan seperti sekarang. Saya ini pemalu sebenarnya untuk berada di depan kamera. Begitupun, seperti saya katakan sebelum ini, andai ada peluang mengacara, saya memang tetap akan cabar diri melakukannya. Namun jika diikutkan kekuatan diri, rasanya saya lebih kepada dunia penyiaran radio," katanya.

Mula berkhidmat dengan Hot FM Kelate, Fizie semakin menyerlah apabila dirinya dipanggil ke ibu kota bagi menggantikan Faizal Ismail, yang mengundurkan diri kira-kira tiga tahun lalu. Ketika itu, beliau digandingkan bersama Fara dan AG mengendalikan segmen pagi Hot FM AM Krew.

Kini menerusi segmen sama, Fizie bergandingan pula dengan Ajak dan Haziq selepas Fara memilih untuk meninggalkan dunia radio, manakala AG pula dipindahkan ke sebuah lagi stesen milik Media Prima Berhad, Kool FM.

Berita Harian X