Khamis, 6 Oktober 2016 | 4:33pm

Kool FM perluas frekuensi ke Kota Bharu, Alor Setar

KUALA LUMPUR: Selepas Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu, stesen radio di bawah pengurusan Rangkaian Radio Media Prima (RRMP), Kool FM mengukuhkan lagi posisi dengan penambahan frekuensi di dua destinasi terbaharu iaitu Kota Bharu, Kelantan serta Alor Setar, Kedah.

Kota Bharu menerima siaran stesen itu bermula semalam menerusi frekuensi 88.6 FM, manakala pendengar di Alor Setar pula berpeluang menikmatinya hari ini di frekuensi 107.3 FM.

Peluasan frekuensi itu dilihat sebagai usaha positif Kool FM dalam menyediakan alternatif kepada pencinta muzik, seterusnya mencapai sasaran untuk ke udara secara menyeluruh di Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Sejak dilancarkan, Kool FM menerima pelbagai maklum balas dan komen membina daripada pelbagai pihak dengan mengukuhkan lagi kedudukan stesen itu menerusi peningkatan jumlah pendengar mingguan yang mencecah 700,000.

Dalam usaha itu, RRMP menggunakan pelbagai pendekatan menerusi variasi aktiviti dan acara kolaborasi bersama Hot FM, sekali gus memberi impak positif kepada pendengar dan rakan perniagaan Kool FM. Selain itu, pengisian segar turut diaplikasikan untuk memastikan stesen berkenaan sentiasa dekat di hati pendengar.

Program seperti Super Karoks antaranya meraih undian terkumpul melebihi 7 juta sepanjang tiga minggu berlangsung, selain turut aktif di media sosial menerusi Facebook rasmi Kool FM yang mengumpul lebih 92,000 pengikut dan Instagram dengan lebih 70,000 pengikut.

Kool FM yang dilancarkan pada 1 Mac lalu dan mula beroperasi sejak 3 Mac menerusi dua frekuensi iaitu 101.3 FM di Lembah Klang dan 90.2 FM di Pulau Pinang mensasarkan pasaran pendengar berusia antara 25-44 tahun. Siarannya diperluaskan pula di Kuala Terengganu bermula Jun lalu di frekuensi 93.6 FM.

Berita Harian X