Khamis, 6 Oktober 2016 | 9:03pm
SUBRAMANIAM mendengar penerangan mengenai plan pembinaan masjid baharu Kampung Sepinang daripada Ketua Kampung Sepinang, Taher Ibrahim (kiri) ketika lawatan Program Doktor Masuk Kampung dan Penyerahan Cek RM500,000 sebahagian kos peruntukkan pembinaan masjid baharu. - Foto Ahmad Ismail

Nisbah pegawai perubatan 1:600 pesakit memadai

SEGAMAT: Nisbah seorang pegawai perubatan yang menjalankan tugasan pemeriksaan serta rawatan terhadap 600 pesakit di negara ini adalah memadai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata biarpun tugas pegawai perubatan termasuk turun padang bagi program Outreach dari rumah ke rumah pesakit, ia tidak menjejaskan perkhidmatan rawatan pesakit di hospital.

Katanya, program Outreach dilakukan kakitangan Jabatan Kesihatan dalam melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah yang biasanya disertai seorang pegawai perubatan membuktikan jumlah kakitangan profesional itu mencukupi.

"Tanggungjawab sosial pegawai perubatan untuk turun padang secara berkala bagi melakukan pemeriksaan di kediaman pesakit kronik terutamanya warga emas di luar bandar dan penempatan pedalaman adalah amat penting.

"Ia bukan sahaja bertujuan pemeriksaan semata-mata, pegawai perubatan diperlukan bagi mewujudkan pengetahuan asas mengenai penyakit kepada setiap pesakit.

"Biarpun begitu, tugasan itu tidak dianggap boleh menjejaskan perkhidmatan pegawai perubatan di hospital," katanya ketika ditemui pada program Doktor Masuk Kampung di Kampung Sepinang di sini, hari ini.

Awal tahun ini, isu kekurangan perjawatan bagi pegawai perubatan di hospital kerajaan pernah dibangkitkan dan Kementerian Kesihatan dilaporkan akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menangani masalah itu.

Ramai graduan perubatan dikatakan terpaksa menunggu lama sebelum mendapat berkhidmat di hospital kerajaan.

Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan cek RM500,000 sebagai sebahagian peruntukan kos pembinaan masjid baharu Kampung Sepinang. Turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr Mokhtar Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Nurshida Ibrahim; Ketua UMNO Bahagian Segamat, Zahari Sarip dan Ketua Kampung Sepinang, Taher Ibrahim.

Berita Harian X