Khamis, 6 Oktober 2016 | 10:02pm

JKR siasat dakwaan penyelewengan projek turap jalan


MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya mengarahkan agensi di bawahnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan siasatan terperinci penyelewengan kontrak projek menurap jalan kepada pihak ketiga.

Sebelum ini, Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF) mendakwa hampir 80 peratus projek menurap jalan raya di negara ini diserahkan kepada pihak ketiga yang kemudiannya mengaut keuntungan atas angin.

Dakwaan berkenaan turut membabitkan adanya berlaku ketirisan integriti di bahagian pengurusan dan jabatan terbabit dengan mengambil tender kontraktor pada harga di bawah kadar ditetapkan Kementerian Kerja Raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kementerian memandang serius dakwaan berkenaan dan menyeru orang ramai selain PERKOBF yang memiliki bukti berlakunya dakwaan itu tampil mengemukakan bukti kepada beliau.

"Sekiranya membabitkan jalan di bawah seliaan kementerian, iaitu Jalan Persekutuan dan disertakan bukti kukuh, tindakan tegas akan di ambil.

"Saya memberi jaminan tindakan tegas akan diambil jika dakwaan berkenaan terbukti sahih," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dua kategori jalan di Malaysia membabitkan Jalan Persekutuan yang diuruskan kementerian dan Jalan Negeri yang diuruskan kerajaan negeri.

Jalan Persekutuan dibahagikan kepada tujuh kategori iaitu Jalan Persekutuan Utama, Jalan Persekutuan FELDA, jalan masuk ke Institusi Persekutuan, jalan masuk ke kawasan perindustrian, jalan masuk ke Lembaga Kemajuan Wilayah (contoh jalan ke KESEDAR, KETENGAH), Jalan Wilayah Persekutuan yang ditetapkan di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dan Lebuhraya Bertol.

Sementara itu, Jalan Negeri terbahagi kepada tujuh kategori iaitu Jalanraya Negeri, Jalanraya Bandaran, Jalan Kawasan Perumahan Kos Rendah, Lorong Belakang, Jalan Pertanian, Jalan Kampung dan Jalan Pulau Pelancongan.

Fadhillah berkata, penyenggaraan jalan oleh kementerian hanyalah terhad kepada Jalan Persekutuan sahaja.

Beliau berkata, skop kerja penyenggaraan dilaksanakan syarikat konsesi terbahagi kepada tiga skop, iaitu kerja penyenggaraan rutin, kerja penyenggaraan berkala dan kerja kecemasan.

"Pengurusan tertinggi syarikat konsesi turut diarah memastikan pemantauan secara berkala dilakukan dan Unit keselamatan Jalan, Cawangan Jalan, JKR tidak berkompromi kualiti turapan jalan supaya menepati prosedur standard (SOP) dalam audit yang dijalankan," katanya.

Mengulas saranan PERKOBF supaya kontraktor dan semua pemantau projek mengikuti kursus khas penyelenggaraan jalan raya bagi memastikan mereka memiliki sijil sebaik melepasi ujian disediakan, Fadhillah berkata kementerian menyambut baik saranan berkenaan dan mengarahkan JKR dan CIDB melaksanakan kursus dicadangkan itu.

Di samping itu, Fadhillah memohon kerjasama orang ramai dan RakanKKR supaya menyalurkan apa sahaja maklumat untuk memastikan jalan raya kita berada dalam keadaan baik untuk keselesaan dan keselamatan pengguna selain, kerjasama syarikat pengangkutan melalui persatuan memastikan tidak ada kenderaan melebihi muatan berada di jalan raya, yang boleh menyebabkan kerosakan jalan.

"Setakat 31 Ogos 2016, 100 peratus daripada 3629 aduan diterima KKR dan agensi berjaya diselesaikan," katanya.

Berita Harian X