Jumaat, 7 Oktober 2016 | 11:27am

Tamat pengajian tapi yuran tertunggak

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bimbang pelajar Malaysia di Mesir yang berjaya menamatkan pengajian tidak layak menerima ijazah kerana tunggakan yuran pengajian.

Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Kamel Mohamed yang mengetuai delegasi kementerian itu ke Mesir, bulan lalu berkata, maklumat itu diperoleh daripada pelajar terbabit ketika lawatan berkenaan.

"Pelajar kita di Mesir bukan saja ada yang menghadapi tunggakan yuran pengajian dan bimbang tidak dapat meneruskan pengajian, malah ada yang sudah tamat pengajian menghadapi masalah tunggakan yuran.

"Ada dua atau tiga pelajar berjaya menamatkan pengajian, tetapi mempunyai tunggakan yuran sekitar AS$5,000 (RM20,779) hingga AS$ 6,000 (RM24,935).

"Bagaimanapun, setakat ini tiada pelajar dibuang pengajian kerana tunggakan yuran," katanya ketika menjadi ahli panel sesi dialog 'Tabung Pendidikan Pelajar Malaysia', di sini, hari ini.

Tabung yang akan dilancarkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh sebentar lagi untuk membantu pelajar Malaysia di Mesir yang mengalami masalah kewangan.

Seramai 150 pelajar Malaysia di Mesir gagal membayar yuran pengajian antara satu hingga dua tahun yang berjumlah keseluruhan kira-kira RM4.5 juta didedahkan BH pada 15 September lalu dan susulan itu, delegasi kementerian berkenaan dihantar ke sana bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X