Jumaat, 7 Oktober 2016 | 2:13pm

Jenazah anggota Brothers, Mohd Salleh selamat dikebumikan


ISTERI kepada Mohd salleh, Ella Shalwiza menyiram air mawar pada pusara suaminya. - Foto Suzaini Sulaiman

TANJONG KARANG: Jenazah anggota kumpulan nasyid, Brothers, Mohd Salleh Mohamed Deril, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Tiram Jaya kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Allahyarham yang berusia 40 tahun, meninggal dunia kira-kira jam 3.20 petang semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat serangan jantung.

Kira-kira 200 ahli keluarga dan sahabat termasuk rakan artis hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Mohd Salleh.

Antara rakan artis yang hadir termasuk, ahli kumpulan Inteam, Mestica, Unic, Saujana, Faizal Tahir, Yasin, Aqil Hay, dan Wahida.

Allahyarham Mohd Salleh meninggalkan seorang isteri, Ella Shalwiza Nasir, 32, dan tiga anak hasil perkahwinan pertamanya iaitu, Nur Amira Balqis, 18; Nur Ilaina Balqis, 16, dan Nur Aniqa Rusyda, 14.

Ella Shalwiza berkata, suaminya sebelum itu yang mempunyai masalah hipertensi sehingga mengalami demam dan sesak nafas pada Ahad lalu.

Katanya, Ahad lalu mereka berdua ke sebuah pusat beli belah di Shah Alam dan ketika di situ suaminya yang memang mengalami batuk dan tidak sihat mengadu sesak nafas, dan ketika di rumah keluarga angkat mereka, Ella Shalwiza terpaksa menghubungi ambulans sebelum Mohd Salleh dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Bagaimanapun, katanya, keadaan hospital yang tidak selesa menyebabkan Ella Shalwiza meminta supaya suaminya dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Ketika di wad sementara, dia macam overdose, berasa panas dan tidak boleh tidur selain cakap pun macam meracau.

"Apabila arwah suami dimasukkan ke unit rawatan jantung (CCU) itu, degupan jantungnya laju menyebabkan doktor memberi ubat tidur bagi menstabilkan semula degupan jantungnya.

"Doktor anggap jantung lemah dan berada dalam keadaan kritikal," katanya ketika ditemui selepas pengebumian Mohd Salleh.

Ella Shalwiza berkata, selepas waktu Zohor Rabu lalu, suhu badan suaminya meningkat ke 43.3 darjah Celsius dan beliau dimaklumkan bahawa tubuh suaminya cuba melawan jangkitan kuman yang ada paru-parunya.

"Saya tahu arwah suami saya memang melawannya sebab dua kali masuk Hospital Sungai Buloh sebelum ini dia selamat tetapi kali ini dia tewas.

"Saya reda dengan pemergiannya, saya tidak rasa ralat. Ketika di HTAR memang isteri boleh berada di sana. Saya tidur satu katil dengannya dan dia rangkul saya serta berkata 'abang sayang awak' dan 'bagi abang cium rambut awak'.

"Saya tidak terfikir apa-apa ketika itu kerana pada fikiran saya, dia selamat. Itu antara kata-kata terakhirnya," katanya.

Beliau berkata, apabila sudah berada di PPUM baru rakan dan pihak media dimaklumkan mengenai keadaan Mohd Salleh, berikutan sebelum itu suaminya tidak membenarkan Ella Shalwiza berbuat demikian.

Ditanya apa yang akan dilakukannya selepas ini, Ella Shalwiza berkata, keluarganya meminta beliau pulang dan tinggal bersama mereka di Subang kerana bimbangkan keadaannya jika terus menetap di rumah pasangan itu di Ampang.

Sementara itu, rakan seperjuangan Mohd Salleh, Yasin, yang turut menziarahi, berkata, semua ahli kumpulan Brothers amat bersedih dengan pemergian Mohd Salleh.

"Kami anggap kami juga sebagai ahli keluarga. Persahabatan kami sejak di sekolah menengah, di universiti sehingga sekarang dah macam adik beradik.

"Kami ucapkan takziah kepada ahli keluarga Salleh dan dapat terima ketentuan," katanya.

31 dibaca
Berita Harian X