Jumaat, 7 Oktober 2016 | 4:06pm

Kim Swee cabar muka baharu bukti kemampuan

Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee dan penolong jurulatih, Bradley Maloney. - Foto Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mencabar muka baharu dalam skuad kebangsaan membuktikan betapa mereka layak membarisi skuad Piala Suzuki AFF 2016 menerusi aksi persahabatan Cabaran Tambak menentang Singapura, malam ini.

Beliau berkata, gandingan pemain senior dan muka baharu itu memberinya peluang untuk menilai pemain yang berpotensi bagi menghadapi cabaran Piala Suzuki AFF 2016 di Myanmar.

"Bukan sesuatu yang mudah dengan banyak muka baharu dalam pasukan. KIta hanya ada tiga lagi perlawanan termasuk aksi malam esok (malam ini) untuk kami menilai pemain terbaik dan berpotensi.

"Jadi inilah masa untuk mereka membuktikan betapa mereka layak untuk membawa cabaran negara ke kejohanan terbabit.

"Ini satu petanda yang bagus, namun dengan sedikit perubahan, ia tetap memerlukan masa untuk mencipta keserasian. Jadi perlawanan persahabatan ini akan jadi medan untuk saya menilai kemampuan mereka," katanya ketika sidang media pra-perlawanan di Singapura, semalam.

Mengulas aksi bertemu musuh tradisi itu, bekas pengendali skuad remaja negara itu menjangkakan aksi yang menarik dapat disaksikan memandangkan kedua-dua pasukan kini giat melakukan persediaan bagi menghadapi kejohanan terbesar di Asia Tenggara itu.

"Kedua-dua pasukan bakal mendapat manfaat daripada perlawanan ini. Kami mahu meraih keputusan positif di sini. Kemenangan amat penting supaya ia dapat menjadi pemangkin semangat sebelum mengharungi Piala Suzuki AFF 2016.

"Kami akan menurunkan kesebelasan utama yang terbaik untuk meraih keputusan positif di sini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee mengakui kehilangan dua tonggak pertahanan akibat persaraan memaksa rombakan di bahagian pertahanan dilakukan supaya dapat memperagakan aksi yang menyaksikan berbanding perlawanan menentang Indonesia, bulan lalu.

"Kami sudah berlatih dengan beberapa kombinasi dan kami sedang meneliti gandingan terbaik untuk perlawanan esok, jadi saya mengharapkan semua pemain dapat bersedia dengan tekanan beraksi di peringkat antarabangsa.

"Pemain tahu tanggungjawab mereka, jadi saya mahukan mereka dapat beraksi dengan lebih baik seperti yang ditunjukkan ketika menentang Timor Leste," katanya.

Fakta nombor

2010 tahun Harimau Malaysia juarai Piala Suzuki AFF

Berita Harian X