Jumaat, 7 Oktober 2016 | 6:57pm

Banjir: JPBBD diarah pindahkan penduduk lebih awal


PENGERUSI Jawatankuasa lnfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin. - Foto L Manimaran

SUNGAI MANIK: Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) yang membuka pusat pemindahan akibat banjir air pasang besar di Perak bulan lalu, diminta membuat persediaan rapi termasuk memindahkan mangsa sama sebelum 16 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa lnfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata ini kerana air pasang besar kali kedua diramalkan berlaku pada 16 hingga 18 Oktober.

"Lebih wajar jika JPBBD di lokasi yang sering berlaku banjir akibat air pasang supaya mengambil tindakan segera menyelamatkan penduduk apabila sudah ada tanda air pasang akan berlaku di kawasan terbabit.

"JPBBD yang terbabit dalam bencana banjir September lalu perlu melakukan tindakan segera memindahkan mangsa sebelum 16 Oktober.

"Perkara itu perlu diberikan perhatian serius kerana paras air laut dijangka naik kepada 3.4 meter bagi tempoh berkenaan, berbanding 3.3 meter bulan lalu.

"Saya juga berharap pusat pemindahan banjir perlu dibuka lebih awal supaya tidak berlaku suasana kelam-kabut yang boleh melambatkan proses pemindahan mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan wang khairat kematian kepada tujuh waris di Langkap, dekat sini, hari ini.

Ketika banjir pasang besar pertengahan bulan lalu, penduduk di beberapa lokasi di tiga daerah iaitu Manjung, Kerian dan Bagan Datoh terpaksa dipidahkan ke tiga pusat pemindahan.

Berita Harian X