Ahad, 9 Oktober 2016 | 5:31pm

Brothers hampir dibubar selepas kematian Salleh

KUMPULAN Brothers (dari kiri) Faiz, Salleh, Yasin dan Syah. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Pemergian anggota Brothers, Mohd Salleh Mohamed Deril atau Salleh, akibat serangan jantung, baru-baru ini, benar-benar meninggalkan kesan mendalam terhadap kumpulan nasyid itu.

Seorang lagi anggotanya, Yasin Sulaiman, berkata ekoran kejadian mengejut itu, Brothers hampir dibubarkan kerana mereka tidak sanggup berdepan dengan kehilangan terbabit.

"Salleh ialah tunggak utama kumpulan memandangkan vokalnya banyak digunakan dalam lagu dendangan kami. Apabila beliau tiada, kami rasa seperti tidak lengkap.

"Pada majlis pengebumian semalam (kelmarin), ketika menjawab satu soalan daripada media, saya ada mengatakan saya sendiri tidak tahu apakah nasib Brothers pada masa akan datang?

"Bagaimanapun, ramai yang memberikan kata-kata semangat supaya kami meneruskan perjuangan Brothers. Saya harap konsert malam ini menjadi pembakar semangat kami untuk terus menyanyi," kata Yasin ketika ditemui selepas selesai Konsert 3 Kejora Bersatu di Istana Budaya, di sini, malam tadi.

Konsert dua malam itu turut menampilkan persembahan kumpulan berpengalaman, Rabbani dan Hijjaz.

Salleh meninggal dunia akibat serangan jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, kira-kira jam 3.20 petang, 6 Oktober lalu. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 40 tahun.

KUMPULAN Brothers pada Konsert 3 Kejora Bersatu di Istana Budaya. - Foto Shiraz Ali

Ditanya mengenai kemungkinan mereka akan mencari anggota baharu bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan arwah, Yasin berkata, perkara itu memang ada dalam perancangan.

"Jika Brothers mahu terus mengadakan persembahan, kami memang kena cari pengganti untuk menyeimbangkan vokal kami.

"Tengoklah nanti, mungkin kami akan memanggil semula bekas anggota Brothers, Akbar. Ia bagaimanapun turut bergantung kepada persetujuannya," katanya.

Selain Yasin, kumpulan yang ditubuhkan pada 1995 itu turut dianggotai Syah dan Faiz.

Berita Harian X