Ahad, 9 Oktober 2016 | 9:19pm

Derita 15 jam

GEORGETOWN: Mangsa putus tangan akibat ditetak penyamun, Jumaat lalu, kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan menyambung tangan selama 15 jam di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini. 

Mangsa, Muhamad Faizal Yaakob, 18, menjalani pembedahan itu bagi menyambung tangan kanannya, yang kini disahkan dapat berfungsi semula sepenuhnya. 

Muhamad Faizal berkata, beliau bersyukur apabila doktor mengesahkan tangan kanannya masih boleh digunakan walaupun dijangka mengambil tempoh selama setahun untuk sembuh sepenuhnya. 

"Syukur kerana masih dipanjangkan umur dan tangan ini masih boleh disambung semula. Saya tidak tahu bagaimana mahu teruskan hidup jika terpaksa menjadi kudung. 

"Selepas ini mungkin ada beberapa sesi fisioterapi supaya tangan kanan saya cepat sembuh. Saya harap selepas ini dapat bergerak dan kembali meneruskan hidup seperti biasa," katanya ketika ditemui di HPP, petang tadi. 

Dalam kejadian Jumaat lalu, Muhamad Faizal putus tangan kanan selepas ditetak seorang lelaki dalam kejadian samun di Bandar Baru Air Itam, di sini. 

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, Muhamad Faizal diserang seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Perdana, sebelum suspek bertindak menetak tangan Muhamad Faizal bagi mengambil cincin pusaka berharga RM3,000 yang dipakainya. 

Muhamad Faizal yang bekerja sebagai penjual burger di Farlim, di sini, berkata, beliau masih trauma dengan kejadian berkenaan dan akan mencari pekerjaan lain selepas pulih. 

Katanya, beliau tidak mempunyai musuh dan tidak mengesyaki mana-mana individu yang dikenalinya sebagai dalang kejadian berkenaan.

MUHAMAD Faizal Yaakob.
Berita Harian X