Isnin, 10 Oktober 2016 | 6:04pm

JKR semak SOP projek turap jalan


KETUA Pengarah Kerja Raya Datuk Seri Ir Dr Roslan Md Taha (tengah) menyaksikan pertukaran Perjanjian Persefahaman (MoU) Nota Kerjasama Program Pensijilan Pengurus Projek antara Jabatan Kerja Raya (JKR) diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) Datuk Ir Mohd Fazli Osman (dua, kiri) dengan Timbalan Pengarah II Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Dr Md Nasir Md Noh (kanan) pada Hari Inovasi JKR 2016 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto BERNAMA

IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak menyemak kualiti kerja dan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan syarikat konsesi yang menyelenggara jalan Persekutuan bagi mengelak berlaku ketirisan dan penyelewengan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Roslan Md Taha, berkata ia membabitkan syarikat konsesi jalan raya iaitu Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd untuk zon selatan Semenanjung, Roadcare Sdn Bhd (zon tengah) dan Belati Wangsa Sdn Bhd (zon utara).

"Saya sudah mengarahkan jurutera daerah memastikan kualiti jalan Persekutuan diselenggara dengan baik jika ada kerja penyelenggaraan jalan seperti penampalan jalan berlubang perlu dibuat berdasarkan SOP.

"Pada masa sama, saya meminta Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF) bekerjasama menyalurkan maklumat jika berlaku ketirisan atau kerja dijalankan tidak mengikut SOP dan sebagainya bagi projek menurap jalan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi JKR 2016 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas arahan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, baru-baru ini, supaya siasatan terperinci dilakukan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan kontrak projek menurap jalan kepada pihak ketiga yang didakwa mengambil keuntungan atas angin.

Roslan berkata, JKR akan memastikan sebelum pembayaran dilakukan, semua SOP dipatuhi dan diikuti dengan jurutera daerah akan mengesahkan bayaran perlu dilunaskan. 

"Setakat ini, syarikat konsesi yang melakukan kerja penyelenggaraan di negara kita sudah melaksanakan tugas dengan memuaskan lebih daripada 10 tahun," katanya.

Berita Harian X