Isnin, 10 Oktober 2016 | 6:16pm

Warga emas maut, motosikal bergesel dengan lori


MOTOSIKAL dinaiki mangsa digilis lori dalam kemalangan di Simpang Batu 10, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah.

BATU GAJAH: Seorang wanita warga emas yang membonceng motosikal maut, manakala penunggangnya parah selepas motosikal dinaiki bergesel dengan lori di Simpang Batu 10, Jalan Tanjung Tualang di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Chong Kam Lam, 69, meninggal dunia sejurus dibawa ke Hospital Batu Gajah akibat parah selepas digilis lori berkenaan, manakala suaminya, Wong Ah Kau, 71, parah di kedua-dua kaki.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu lori berkenaan keluar dari Simpang Batu 10, Jalan Tanjung Tualang dan membelok ke sebelah kanan jalan itu.

Katanya, ketika membelok di simpang berkenaan, lori itu bergesel dengan motosikal yang berada di sebelah kiri kenderaan berat itu sehingga menyebabkan kedua-dua penunggang dan pembonceng jatuh dari motosikal.

"Kedua-dua mangsa jatuh motosikal dan berada di bawah lori berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Nasri berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan, namun seorang daripada mereka meninggal dunia.

"Pembonceng motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia pada jam 12.45 tengah hari tadi dan bedah siasat sedang dijalankan.

"Pemandu lori berkenaaan yang berusia 65 tahun ditahan untuk siasatan lanjut, namun dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan lengkap," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

84 dibaca
Berita Harian X