Isnin, 10 Oktober 2016 | 6:21pm

Rawatan awal cegah gangguan kesihatan mental


DEKAN Pusat Pengajian Sains Pergigian Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr Adam Husein (dua kanan) diiringi Ketua Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr Asrenee Ab Razak (kanan) melawat pameran yang dihasilkan oleh pesakit psikiatri sempena Majlis Penutup Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kampus Kesihatan USM 2016 dan Perasmian Unit Mentari USM di Auditorium, Blok Pentadbiran, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kota Bharu. - Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Pesakit yang mengalami kesihatan mental pada peringkat awal perlu menerima rawatan kerana jika dibiarkan, ia boleh menyebabkan penyakit itu semakin serius.

Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Dr Asrenee Ab Razak, berkata kebanyakan masyarakat mempunyai tanggapan negatif terhadap penyakit berkaitan mental, meskipun mereka hanya menghidap gangguan kesihatan mental.

"Gangguan kesihatan mental bukan penyakit mental, tetapi jika jika tidak dirawat ia boleh menyebabkan kecelaruan mental.

"Kesedaran terhadap kesihatan mental di negara kita masih rendah berbanding negara maju, cuma terdapat sedikit perubahan kebelakangan ini apabila orang ramai mula menjalani rawatan di hospital psikiatri berbanding menggunakan rawatan tradisional (bomoh)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian penutup Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat Kampus Kesihatan USM 2016 di sini, hari ini.

Dr Asrenee berkata, definisi sebenar kesihatan mental bukan semata-mata sakit mental (kurang waras) tetapi ia membabitkan gangguan contohnya tekanan, tidak boleh tidur, gangguan selera makan, gagal memberi tumpuan dan seumpamanya.

"Kesihatan mental seperti itu boleh dirawat melalui konsep rehabilitasi iaitu pemulihan dengan menjalani latihan, bukannya ubat semata-mata dan jika dilakukan secara konsisten, pesakit boleh kembali normal," katanya.

Dr Asrenee berkata, setiap minggu kira-kira 240 orang mendaftar di Klinik Psikiatri HUSM untuk menerima rawatan termasuk kanak-kanak seawal umur hampir dua tahun yang mengalami masalah lambat bertutur yang turut dikategorikan sebagai gangguan kesihatan mental.

"Secara purata, seramai 150 kanak-kanak dan remaja bawah usia 18 tahun menerima rawatan itu sebulan kerana masalah enggan ke sekolah, kemurungan, autisme dan lain-lain," katanya.

Berita Harian X