Selasa, 11 Oktober 2016 | 2:11pm
STESEN MRT Kwasa Damansara ketika dalam pembinaan tahun lalu. - Foto laman web mymrt

Kemudahan 'park and ride' di stesen MRT Kwasa Damansara hampir siap

KUALA LUMPUR: Kemudahan 'park and ride' di dua stesen MRT di kawasan perbandaran ikonik Kwasa Damansara kini hampir siap sepenuhnya.

Menurut pemaju utama perbandaran berkenaan, Kwasa Land Sdn Bhd, kerja pembinaan kemudahan 'park and ride' di Stesen MRT Kwasa Sentral yang menyediakan 500 tempat letak kereta hampir siap sepenuhnya.

Sementara, kerja pembinaan kemudahan sama di Stesen MRT Kwasa Damansara pula yang menyediakan 513 tempat letak kereta, kini berjalan lancar.

"Pengguna setempat dan sekeliling bakal mendapat manfaat besar dengan adanya kemudahan 'park and ride' ini," kata Kwasa Land dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain tempat letak kereta, kedua-dua kemudahan itu, turut menawarkan parkir bagi orang kurang upaya, parkir motosikal, basikal, bas, teksi dan juga kawasan menurun serta mengambil penumpang, untuk kemudahan pengguna MRT dan pihak pembekal perkhidmatan.

Pengarah Urusan Kwasa Land, Datuk Mohd Lotfy Mohd Noh, berkata kedua-dua stesen MRT terletak di kawasan strategik di pusat bandar Kwasa Damansara.

Katanya, kawasan berkenaan adalah fasa pertama pembangunan Kwasa Damansara yang merangkumi daripada pejabat dan ruang perniagaan, akan dibangunkan oleh KWSP dan MRCB masing-masing di Plot C-8 dan MX-1.

Dengan adanya kemudahan MRT di kawasan berkenaan, beliau berkata, perjalanan ke Kuala Lumpur akan menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa.

Plot kawasan kediaman juga akan dibina di sekitarnya yang akan dibangunkan oleh Kwasa Land dan rakan pembangunan lain, Ahmad Zaki Sdn Bhd (Plot R3-4), Naza TTDI Sdn Bhd (Plot R2-1), anak syarikat Impiana Land Sdn Bhd (Plot R3-2) dan juga projek pembangunan perumahan mampu milik oleh Kwasa Land.

"Pembangunan perumahan dan komersial ini dijangka bermula pada suku kedua tahun 2017," katanya.

Kebenaran merancang untuk kedua-dua kemudahan 'park and ride' di Kwasa Sentral dan Kwasa Damansara diperoleh Majlis Bandaraya Shah Alam masing-masing pada 10 Februari 2016 dan 9 September 2015.

Kedua-dua kemudahan itu dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun dan Kwasa Land akan melantik operator tempat letak kereta untuk menguruskannya selepas itu.

Pengguna boleh mengakses kedua-dua kemudahan 'park and ride' itu dari Jalan Sungai Buloh-Shah Alam untuk masuk ke perbandaran Kwasa Damansara yang mempunyai rangkaian jalan raya terancang.

Dengan siapnya kedua-dua stesen MRT, perbandaran Kwasa Damansara akan menjadi model utama bagi Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).

Setelah rangkaian MRT mula beroperasi, masyarakat umum dijangka berpeluang untuk lebih mengenali pembangunan perbandaran Kwasa Damansara, justeru dapat meningkatkan minat untuk memiliki kediaman dan pembangunan komersial di kawasan itu.

INFO

* Kwasa Land adalah syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

* Ia ditubuhkan pada September 2010 bagi menguruskan pelaburan pembangunan hartanah KWSP yang bernilai berbilion ringgit di negara ini

* Sebagai pemaju induk, Kwasa Land diamanahkan memajukan bandar komuniti lestari untuk tempoh 20 tahun akan datang, yang terdiri daripada gabungan pembangunan hab moden untuk kediaman, komersial, rekreasi dan kemudahan pendidikan

Berita Harian X