Selasa, 11 Oktober 2016 | 10:25pm

Duterte dijangka lulus undang-undang larangan merokok


RODRIGO Duterte. - Foto AP

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dijangka menandatangani satu peraturan bulan ini yang melarang merokok di tempat awam di seluruh negara kedua paling padat di Asia Tenggara, memperkenalkan undang-undang anti-tembakau paling tegas di rantau ini.

Juru kempen kesihatan awam yang sekian lama berjuang menentang lobi tembakau besar-besaran mengalu-alukan tindakan menamatkan merokok di tempat awam dan berkata, mereka percaya, Duterte dengan rekod anti-jenayah tegarnya, adalah pemimpin sesuai melakukannya.

Setiausaha Kesihatan Paulyn Jean Rosell-Ubial berkata hari ini, beliau berharap presiden akan menandatangani larangan itu, yang melanjutkan definisi tempat awam kepada undang-undang sebelum akhir bulan ini dan berkuat kuasa bulan depan.

Beliau dipetik akhbar sebagai berkata, merokok tidak akan dibenarkan sama sekali di tempat awam, sama ada di dalam atau luar premis.

"Taman, stesen bas dan malah dalam kenderaan. Semua ini dianggap tempat awam," katanya menurut media. Beliau kemudian menjelaskan, undang-undang akan terpakai kepada kenderaan awam.

Kawasan khas merokok akan didirikan, sekurang-kurangnya 10 meter di luar bangunan, menurut satu deraf arahan eksekutif dilihat Reuters.

Kira-kira 17 juta penduduk atau hampir satu pertiga jumlah penduduk dewasa, merokok di Filipina, menurut satu laporan Pakatan Kawalan Tembakau Asia Tenggara 2014, kedua tertinggi di rantau itu selepas Indonesia. -Reuters

Berita Harian X