Rabu, 12 Oktober 2016 | 9:34am

Jerman terlalu sukar ditandingi - O'Neill


PENGURUS Ireland Utara, Michael O'Neill. - Foto Reuters

HANOVER, Jerman: Pengurus Ireland Utara, Michael O'Neill menyifatkan Jerman sebagai sebuah pasukan yang sukar dihalang selepas juara dunia itu mencatat kemenangan 2-0 ke atas mereka dalam aksi kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.

Pasukan Jerman mencatat tiga kemenangan daripada tiga aksi kelayakan dalam menuju ke final temasya 2018 di Russia menerusi jaringan Julian Draxler dan Sami Khedira.

Malah, gawang Jerman juga masih belum dibolosi dalam kempen kelayakan ke Russia 2018.

"Kami tiba di sini bersama perancangan untuk cuba dan menafikan (kemenangan) sebuah pasukan yang hebat dan mempunyai pemain hebat yang mana adalah bagus sekiranya kamu dapat mengikat mereka," kata O'Neill.

"Kami melepaskan gol pertama, ia adalah penyudah hebat dari Draxler tetapi amat mengecewakan apabila gol kedua yang dilepaskan itu hadir daripada sepakan sudut.

"Kami seperti berpeluang meraih satu gol apabila melakukan serangan balas pada babak pertama dan kami menunjukkan semangat untuk hanya membenarkan mereka meraih dua gol.

"Tetapi saya tidak pasti sekiranya ada sistem yang mampu menyekat Jerman pada ketika ini. Ia bukan saja daripada sudut taktikal tetapi juga kualiti besar dan semangat atlet yang berada dalam pemain mereka." - AFP

Berita Harian X