Rabu, 12 Oktober 2016 | 11:44am

ViiA Residence pelaburan baik kepada profesional berpendapatan tinggi

Tetamu hadir semasa pratonton VIIA Residence SP Setia Pelancaran, di KL Eco City, Jalan Bangsar. - Foto Ghazali Kori

ViiA Residences, projek pembangunan mewah terbaharu daripada pemaju hartanah terkemuka, SP Setia Bhd bakal memberi peluang pelaburan baik kepada pembeli terutama dalam kalangan golongan profesional serta berpendapatan tinggi.

Pembinaan menara residen mewah itu berkonsepkan pembangunan hijau bersepadu dan berada di lokasi strategik, KL Eco City.

Pengurus Besar Bahagian SP Setia, Tony Ling, berkata projek berkenaan menerima permintaan kukuh dan ia memberi peluang kepada pembeli untuk mendapatkan aset yang memberi pulangan lebih baik.

"ViiA Residences bukan hanya pembangunan kediaman serba mewah serta dilengkapi kemudahan, tetapi juga menjadi akses kepada capaian kemudahan lain seperti pengangkutan awam, ruang runcit, makanan dan minuman (F&B), hiburan, hotel dan pejabat.

"Kami menerima permintaan kukuh dan pertanyaan terutama dalam kalangan profesional berpendapatan tinggi yang mana menghargai premium aset perdana di lokasi sangat strategik," katanya ditemui pada pratonton projek ViiA Residences, di KL Eco City, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

ViiA Residences terdiri daripada residen mewah berstatus pegangan pajakan (leasehold) yang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM450 juta.

Ia membabitkan kawasan binaan seluas 10.1 hektar di Jalan Bangsar dan adalah komponen projek berkonsepkan pembangunan hijau bersepadu, KL Eco City.

Ling berkata, projek berkenaan dibina bagi individu yang menghargai gaya hidup mewah, meriah dan mementingkan aspek kemudahan bagi membolehkan mereka bergerak dengan lebih mudah serta pantas.

"Pembeli juga mampu mendapatkan pulangan modal tinggi daripada sewaan dan peningkatan modal pada masa hadapan.

"Selain itu, antara kelebihan yang kami tawarkan bagi projek ini ialah Skim 10:90, yang mana pelabur hanya perlu membayar 10 peratus daripada harga pembelian dan bakinya 90 peratus dibayar ketika penyerahan aset dibuat," katanya.

Sehubungan itu katanya, ia memberi peluang kepada pembeli untuk menikmati faedah daripada pemilikan pelaburan hartanah perdana tanpa menyediakan pelaburan lebih besar di peringkat awal.

Pembinaan ViiA Residences dijangka bermula pada suku keempat tahun ini dan dijadualkan siap pada tahun 2020. Jumlah keseluruhan unit residen mewah yang dibina sebanyak 326 unit dengan empat saiz binaan berbeza bermula dari 636 kaki persegi hingga 1,252 kaki persegi.

Harga yang ditawarkan bagi setiap unit bermula RM1 juta hingga RM2 juta atau purata RM1,600 sekaki persegi.

Info:

- Sasaran pasaran golongan profesional berpendapatan tinggi

- Kemudahan berdekatan ViiA Residences terdiri daripada pusat beli belah seperti Mid Valley Mega Mall, The Gardens, Bangsar Shopping Centre dan Bangsar Village; pusat bandar komersial Mid Valley City dan KL Sentral; institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Brickfields Asia College (BAC).

Berita Harian X