Rabu, 12 Oktober 2016 | 7:26pm

MPK siap sedia hadapi air laut pasang besar


YANG Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin melawat kawasan perindustrian Jalan Kebun Nenas, Klang, hari ini. - Foto Muhammad Sulaiman

KLANG: Kira-kira 30,000 guni pasir akan disediakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk menahan air jika ada benteng di pantai yang pecah ketika fenomena air laut pasang besar yang diramal pada hujung minggu ini.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata proses penyediaan guni pasir itu dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang akan bermula secepat mungkin dengan mengorek pasir di Sungai Serdang.

"Ini salah satu inisiatif bersama untuk memastikan kita bersedia dengan sebarang kemungkinan. Selain itu, enam dewan di bawah kelolaan MPK juga sedia untuk digunakan sebagai pusat pemindahan.

"Pusat itu akan dibuka di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran; dewan serba guna di Pandamaran Jaya, Kampung Idaman; Pelabuhan Klang; Teluk Gadong dan Kampung Kuantan," katanya yang ditemui ketika melawat kawasan perindustrian Jalan Kebun Nenas, di sini hari ini.

Beliau berkata, dewan berkenaan sudah diselenggara untuk memastikan ia dalam keadaan bersih dan kelengkapan seperti pendawaian elektrik tidak mengalami sebarang masalah.

Dalam lawatan berkenaan, Mohamad Yasid turut meminta pemilik kilang di daerah ini lebih bertanggungjawab dalam pengurusan sisa pepejal di premis masing-masing serta tidak melonggokkan sampah di tepi jalan.

"Melonggokkan sisa kilang di tepi jalan adalah satu kesalahan kerana ia tanah rizab kerajaan. Perbuatan itu mendorong orang awam turut membuang sampah mereka bersama longgokan sedia ada, " katanya.

Berita Harian X