Khamis, 13 Oktober 2016 | 12:01am

Ikut cara Indonesia promosi buku, pengarang


PESTA Buku Frankfurt.

PERBUALAN dengan beberapa penulis muda dari Indonesia memperlihatkan mereka senang dengan tempias Pesta Buku Frankfurt pada tahun lalu yang menyaksikan negara itu menjadi negara tamu kehormat.

Banyak judul buku Indonesia diterjemahkan ke pelbagai bahasa bagi memenuhi tujuan itu, malah hingga Ogos lalu, hampir 45 judul buku bahasa Indonesia sudah diterjemahkan.

Sesuatu yang menarik, kebanyakan buku yang menjadi pilihan untuk terjemahan ialah novel sastera. Kebanyakan pengarang muda Indonesia seperti Eka Kurniawan, Ayu Utami, Okky Madasari, Andrea Hirata dan A Fuadi sudah mempunyai novel terjemahan ke bahasa asing.

Giat promosi Tere Live, Dee Lestari

Ketika ini, penerbit di Indonesia sedang giat mempromosikan Tere Liye dan Dee Lestari. Dijangka pengarang yang sama akan diangkat di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt pada minggu hadapan. Kelihatannya penggiat penerbitan di Indonesia secara bersama dan berstrategik mempromosi pengarang yang serupa.

Menarik minat penterjemahan antarabangsa pada asasnya mempunyai caturan yang mudah, apabila nama yang sama dipromosikan selain sudah mempunyai satu karya terjemahan.

Ia ditambah dengan pengiktirafan yang diterima pengarang misalnya pernah memenangi hadiah sastera, maka ia lebih cepat memikat.

Strategi itu yang sewajarnya dipelajari oleh penerbit di negara ini. Menjayakan kehadiran Malaysia sebagai tetamu kehormat pada Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2016 di Jakarta, baru-baru ini, tindakan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku (PKB) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah langkah yang sangat bijak.

Namun ia tidak cukup mantap jika kemudiannya usaha untuk mempromosikan karya penerbitan Malaysia tidak dilakukan secara bersama.

Apa yang dilakukan oleh Ikatan Penerbit Indonesia (IKAPI) dengan ahli-ahlinya sangat bijak dan sepatutnya dipandang serius oleh DBP terutama selepas 'bebas' daripada DAWAMA. DBP perlu lebih laju memacu dan memburu langkah serta gerak tangkas PKB dan ITBM.

Angkat karya pengarang bukan SN

Di negara ini, terdapat ramai pengarang muda dan mapan yang muncul dengan karya pelbagai genre. Tinggal lagi, saring dan pilihlah yang terbaik untuk diangkat ke peringkat antarabangsa.

Janganlah hanya tertumpu pada karya Sasterawan Negara (SN) semata-mata, sebaliknya perlu lebih berani mengangkat karya pengarang bukan SN, tetapi berwibawa, walau siapapun individu berkenaan.

Gerak kerja ini sewajarnya dibuat secara bersama oleh PKB, ITBM dan DBP. Ketika PKB menyediakan jalannya, ITBM dan DBP juga penerbit lain yang mempunyai karya baik menawarkan pula isinya.

Indonesia dalam hal ini lebih ke hadapan dan berani. Tanpa bantuan pemerintah pun, mereka mampu menembus tembok antarabangsa dan mereka sudah lama pun 'melupakan' karya Pramodya Ananta Toer atau Hamka!

13 dibaca
Berita Harian X