Khamis, 27 November 2014 | 10:18pm
SELEBRITI, Amar Baharin dan Izreen Azminda turut hadir memeriahkan gerai bergambar bersama sempena Perhimpunan Agung UMNO di PWTC. - Foto Ghazali Kori

Artis popular serikan booth Bianco Mimosa di PWTC


PERTUNJUKAN fesyen Bianco Mimosa pada Perhimpunan Agung UMNO di PWTC. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang bermula sejak 24 sehingga 29 November ini turut diserikan dengan penyertaan jenama fesyen terkenal, Bianco Mimosa.

Butik fesyen berkenaan itu membuka booth pakaian ketika berlangsung acara itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Hari ini, BH Online berkunjung dan menyaksikan pelbagai aktiviti diadakan di booth yang diasaskan Datuk Ida Suraya dan rakan kongsinya, Deqsha.

Deqsha antara jurusolek yang cukup popular di kalangan selebriti tanah air.

Selain diadakan acara lelongan pakaian yang dijual di butik fesyen berkenaan termasuk baju yang pernah digayakan Erra Fazira serta Jaclyn Victor dengan harga istimewa juga dianjurkan ialah peragaan fesyen jenama itu.

Biar ruang di situ agak terbatas kerana ramai dibanjiri pengunjung, booth Bianco Mimosa tetap menjadi tumpuan.


PELAKON, Izreen Azminda (kanan) menandatangani buku peminatnya Roslai Mohammad, 51, pada Perhimpunan Agung UMNO kali ke-68 di PWTC, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Apa lagi artis tanah air terdiri dari Nurul Depp, Izreen Azminda, Amar Baharin, Fouziah Gous dan Kaka Azraff mengambil giliran untuk memeriahkan perjalanan majlis.

Pelawak Abon dan Kiah Propa turut menceriakan suasana dengan menjadi pengacara majlis serta pembida barang lelongan. Kehadiran artis popular di situ turut menjadi ruang kepada pengunjung untuk bergambar kenangan.

"Saya selalu juga menyertai acara sebegini contohnya seperti Jom Heboh untuk mempromosikan drama lakonan di TV3. Jadi ia ruang terbaik untuk saya manfaatkan bertemu mesra dengan peminat.

"Lagi pun Bianco Mimosa antara jenama yang pernah saya gayakan sebelum ini dan ini sebagai tanda sokongan untuk mereka," katanya yang kini sibuk menjalani latihan teater Takhta 3 Ratu yang akan dipentaskan di Istana Budaya bulan depan.

Datuk Ida yang ditemui pula berkata, dunia fesyen dan hiburan memang tak boleh dipisahkan. Katanya lagi, ia saling melengkapi di antara satu sama lain.

Justeru, beliau yakin mengundang golongan artis ke acara ini menjadi strategi serampang dua mata terbaik.

Artis tempatan turut melonjakkan label ini apabila selebriti seperti Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Umie Aida, Scha Alyahya, Liyana Jasmay, Rozita Che Wan, Nurul Depp, Raja Azura, Fathia Latiff, Kaka Azraff turut menggayakan persalinan rekaan label mereka.


PENYANYI, Kaka turut hadir pada Perhimpunan Agung UMNO di PWTC hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Kami berbesar hati kerana selebriti tanah air turut memberi sokongan. Impak pembabitan selebriti dalam mempromosikan jenama ini cukup besar.

"Pada peringkat permulaan hubungan baik teman saya, Deqsha dengan rakan artis menjadi nadi.

"Pengaruh beliau di dalam industri sedikit sebanyak menjadi batu loncatan dalam mendekatkan lagi jenama Bianco Mimosa kepada peminat fesyen dan hiburan di negara kita.

"Jelas di sini terma fesyen dan hiburan memerlukan antara satu sama lain. Bagai irama dan lagu.

"Pembabitan kami dengan menaja artis menghadiri acara hiburan juga sebagai tanda sokongan kepada industri seni.

"Bermula dari pertunjukan fesyen ketika majlis perkahwinan saya September lalu, Bianco aktif menyertai pertunjukan fesyen dan karnival perkahwinan serta fesyen," katanya yang turut mempunyai syarikat kejuruteraan yang diceburi sejak 12 tahun.


PENGARAH Urusan Bianco Mimosa Sdn Bhd, Datuk Ida Suraya Mustapha (kanan) bersama selebriti, Kaka ketika pertunjukan fesyen Bianco Mimosa pada Perhimpunan Agung UMNO di PWTC. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Bianco Mimosa ditubuhkan pada Jun 2013 dengan memulakan operasinya di Jalan Maarof, Bangsar sebelum berpindah dan kini berpangkalan Sungai Buloh. Bianco Mimosa diambil dari bahasa Itali itu membawa maksud Semalu Putih.

Perpindahan butik ini ke Sungai Buloh juga atas paksi memudahkan lagi pengurusan kerana syarikat kejuruteraannya turut beroperasi di lokasi yang sama iaitu sebelah menyebelah.

Lebih setahun melebarkan nama, Bianco turut aktif menganjur serta menyertai pertunjukan fesyen selain menawarkan pakej perkahwinan untuk pelanggan mereka.

Bianco Mimosa beroperasi di No 48-G, Jalan Nautika B U20/B, Pusat Komersial TSB, Sungai Buloh, Selangor. Facebook (facebook.com/biancomimosa) dan Instagram: @biancomimosa

11 dibaca
Berita Harian X