Jumaat, 14 Oktober 2016 | 11:37am

UiTM capai 4 objektif penubuhan - PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat ke ruang pameran 'Wall of Fame Alumni UiTM', selepas merasmikan Majlis Kemuncak Sambutan UiTM 60 Tahun di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SHAH ALAM: Sejak penubuhannya 60 tahun lalu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) sudah berjaya mencapai empat objektif utama yang perlu dicapai sebagai universiti, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, bermula daripada Institusi Teknologi MARA (ITM) hingga kini bergelar universiti, UiTM antara lain berjaya memberi peluang kepada rakyat di negara ini memasuki institusi pengajian tinggi.

"Akses kepada universiti adalah kayu ukur kepada ekonomi, tamadun yang kuat mesti diukur berdasarkan kepada bilangan peratusan rakyat yang berpeluang ke universiti.

"Dengan angka ini, menunjukkan UiTM adalah institusi penyumbang terbesar yang memberi akses kepada pendidikan di negara ini.

"Yang kedua, UiTM juga memberi akses kepada pendidikan yang berkualiti. Bagaimana nak ukur kualiti ini? Saya difahamkan UiTM adalah antara universiti yang mempunyai kebolehpasaran graduan tertinggi," katanya ketika merasmikan Majlis Kemuncak Sambutan UiTM 60 Tahun, di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Pro Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub; dan Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Najib berkata, UiTM juga menyumbang kepada mobiliti sosial dan kejuruteraan sosial negara yang menyaksikan nasib masyarakat terutama golongan Melayu dan Bumiputera kini mampu keluar dari kemiskinan selain membina masyarakat yang adil tanpa mengira bangsa.

Berita Harian X