Sabtu, 15 Oktober 2016 | 12:11am

Bisikan suara ganggu emosi


DIA sering mendengar suara suara yang memintanya supaya belajar lebih rajin lagi yang akhirnya seakan mendesak dirinya untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

Suara suara itu cukup merimaskan, membisik dan terus berdesing tajam di telinganya ketika dia sedang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada buku yang sedang dibacanya.

Ia cukup menakutkan Azlee (bukan nama sebenar), 47, sehingga terpaksa menutup cuping telinga dengan tapak tangan sekuatnya bagi menghentikan suara itu daripada terus bermain di telinganya.

"Mula-mula saya mendengar suara itu ketika sedang sibuk membuat persiapan untuk mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang seakan suara salah rakan perempuan sekelas yang duduk di belakang saya.

"Selesai STPM, saya mula bekerja sebagai pembantu di kedai dan mengalami perasaan aneh apabila tiba-tiba perasaan diselubungi kesedihan teramat termasuk takut tidak lulus sehingga kerap menangis bersendirian di dalam tandas," katanya yang mengakui kadangkala menangis tanpa sebab.

Jumpa pakar psikiatri


SKIZOFRENIA ialah gangguan mental kronik yang menyebabkannya mengalami delusi, halusinasi, fikiran kacau dan perubahan perilaku. - Foto hiasan

Azlee berkata, keadaannya itu disedari seorang bapa saudaranya yang kemudian membawa beliau berjumpa pakar psikiatri untuk mendapatkan rawatan.

Pakar berkenaan mendapati Azlee mengalami sejenis penyakit mental dikenali sebagai skizofrenia iaitu gangguan mental kronik yang menyebabkannya mengalami delusi, halusinasi, fikiran kacau dan perubahan perilaku.

Azlee diberikan ubat pil dikenali sebagai `risperdal' bagi menenangkan fikirannya. Beliau makan ubat dua kali sehari dan membuatkan suara suara itu juga hilang.

Sekiranya dia gagal makan ubat seperti ditetapkan, suara itu datang lagi dan mula mengalami delusi berada di hadapan sebuah gunung yang tinggi berwarna coklat setiap kali sedang berehat.

Beliau gembira kerana keputusan STPM agak cemerlang dan berpeluang menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal di institusi pengajian tinggi swasta.

Sedih selepas kematian bapa


AKIBAT delusi dan halusinasi dialami, pesakit didorong untuk melakukan sesuatu di luar fikiran warasnya. - Foto hiasan

"Bagaimanapun penyakit saya bertambah teruk apabila bapa tiba-tiba meninggal dunia akibat strok ketika di tahun satu, menyebabkan saya tiada sumber pendapatan dan tertekan," katanya yang bertukar ke institusi pengajian awam selama empat tahun selepas mendapat pinjaman kerajaan negeri.

Selepas menamatkan pengajian, Azlee berjaya mendapat pekerjaan sebagai jurutera tetapi kesan makan ubat membuatkan dia selalu tertidur ketika bekerja dan diberhentikan kerja.

Akibat kerap menganggur, suara yang biasa didengari bertambah kuat dan merasakan seolah-olah ada orang yang ingin membunuhnya kerana dirinya tidak berguna.

Suatu hari tanpa disedari beliau berjalan ke tengah jejambat dan terjun di tengah lebuh raya untuk membunuh diri.

Nasibnya baik kerana ketika itu tidak banyak kereta dan Azlee hanya mengalami patah kaki dan cedera pada bahagian pinggang. Dia dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan termasuk oleh pakar psikiatri.

Sokongan keluarga bantu lawan penyakit

Akibat delusi dan halusinasi dialami ditambah dengan kesedihan yang menyelubungi hidupnya, mendorong Azlee melakukan sesuatu di luar fikiran warasnya dengan menelan ubat berlebihan sehingga terpaksa dilarikan ke hospital oleh keluarganya.

Menerusi bantuan dan sokongan petugas Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) serta keluarga, Azlee berusaha melawan penyakit dialaminya sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana sains.

Kini dia menjalani latihan pemulihan di PPUKM sebagai persediaan untuk bekerja dan berdepan dengan masyarakat.

Harapannya, masyarakat dapat menerima kehadirannya dan membuang stigma yang memandang serong pesakit mental sepertinya.

Info skizofrenia:


UBAT pil dikenali sebagai `risperdal' dapat menenangkan fikiran pesakit skizofrenia. - Foto hiasan

Gangguan pemikiran atau kecelaruan otak

Delusi:

Kepercayaan yang kuat tetapi palsu yang tidak dapat digugat oleh pendapat yang waras.

Contohnya percaya bahawa orang lain berpakat untuk berbuat jahat kepadanya, percaya bahawa fikiran dan kelakuannya dikawal oleh makhluk luar seperti jin, hantu atau keramat, percaya bahawa ia mempunyai kuasa yang istimewa dan luar biasa.

-Sukar untuk menumpukan, membentuk dan mengekalkan arus pemikiran.

-Pertuturan sukar difahami dan tidak berkaitan dengan soalan

Gangguan persepsi

Halusinasi:

Mendengar suara-suara ghaib bercakap kepadanya atau bercakap sesama sendiri atau membuat ulasan terhadap apa yang dilakukannya sedangkan suara itu tidak didengari oleh orang lain

Gangguan tingkah laku

* Perangai yang pelik dan sering berubah-ubah.

* Kurang berupaya untuk melakukan aktiviti harian dengan baik.

* Menjauhkan diri daripada berinteraksi dengan masyarakat (suka menyendiri)

268 dibaca
Berita Harian X