Sabtu, 15 Oktober 2016 | 11:41am

20,774 pesakit tunggu pendermaan organ


Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye (tiga dari kiri) diiringi Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi (dua dari kiri) di Program 6KM Fun Walk For Organ sempena Minggu Kesedaran Pendermaan Organ 2016 di Muzium Negeri di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Seramai 20,774 pesakit di seluruh negara masih menunggu organ daripada penderma dengan 20,751 daripadanya adalah pesakit buah pinggang, setakat Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata daripada jumlah itu, lima pesakit menunggu organ jantung manakala paru-paru dan jantung (enam), paru-paru (enam) dan hati (enam) termasuk seorang kanak-kanak.

"Angka 20,774 agak besar dan saya berharap semua pengikrar akan menyumbang kepada bilangan penderma sebenar supaya lebih ramai pesakit dapat dibantu," katanya pada sidang media selepas majlis 6 Kilometre Fun Walk For Organ 2016 di sini hari ini.

Lebih 1,000 orang menyertai program itu yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi.

Program dianjur Kumpulan Perolehan Organ dan Tisu Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) dan Persatuan Koordinator Transplan Sabah.

Lam Thye berkata, seramai 362,667 pengikrar pendermaan organ direkodkan di seluruh negara setakat bulan ini, termasuk 13,448 orang di Sabah.

"Kita mempunyai 362,667 pengikrar pendermaan organ di seluruh negara dan berharap mereka akan menjadi penderma sebenar apabila tiba masanya.

"Oleh itu, kita mahu pengikrar pendermaan organ memaklumkan kepada keluarga mereka supaya tiada bantahan timbul apabila proses pengambilan organ dilakukan selepas meninggal dunia," katanya.

Berita Harian X