Isnin, 17 Oktober 2016 | 1:09am
KEADAAN jambatan yang menghubungkan dua buah pulau selepas runtuh.

8 maut jambatan runtuh di Bali

JAMBATAN menghubungkan dua pulau kecil di Bali runtuh, semalam mengorbankan lapan maut.

DENPASAR: Satu jambatan menghubungkan dua pulau kecil di Bali runtuh, semalam mengorbankan lapan orang, termasuk tiga kanak-kanak serta mencederakan 30 yang lain.

Menurut pihak berkuasa impak nahas itu amat kuat sehingga beberapa motosikal tercampak ke dalam air.

Agensi bencana berkata, jambatan gantung yang menghubungkan dua pulau pelancongan popular, Nusa Limbongan dan Nusa Ceningan di Bali runtuh pada jam 6.30 petang waktu tempatan, semalam.

Jambatan sempit itu hanya boleh dilintasi menggunakan motosikal dan pejalan kaki. Ketika insiden, ia amat sibuk kerana ramai menyertai satu upacara keagamaan di sebuah kuil berhampiran.

"Jambatan ini bergegar sebelum runtuh," kata jurucakap agensi bencana, Sutopo Purwo Nugroho.

"Ada penunggang motosikal dan orang yang terjatuh ke dalam laut. Orang ramai turut cuba menyelamatkan mereka."

Pihak berkuasa mengesyaki jambatan itu runtuh kerana terlalu ramai orang menggunakannya pada ketika itu.

Beberapa gambar menunjukkan jambatan gantung itu tenggelam dalam kawasan perairan cetek antara kedua-dua pulau terbabit.

Tiada warga asing terbabit dalam nahas itu, katanya. - AFP

Berita Harian X