Jumaat, 28 November 2014 | 6:26pm
Ketua UMNO Tenggara, Datuk Dr Adham Baba. - Foto Osman Adnan

Dasar, polisi baharu mesti berdasar komposisi kaum - UMNO Johor

KUALA LUMPUR: UMNO Johor hari ini mencadangkan supaya dasar dan polisi baharu yang akan digubal kerajaan mestilah berdasarkan kepada komposisi kaum dan bukan lagi bersandarkan kuota 30 peratus seperti yang dipraktikkan sebelum ini.

Jurucakapnya yang juga Ketua UMNO Tenggara, Datuk Dr Adham Baba berkata, ini kerana, sekiranya segala dasar dan polisi yang akan digubal tidak mengambilkira kompisisi Melayu dan bukan Bumiputera, maka perancangan terbabit sudah pasti akan merugikan orang Melayu.

"Selama ini sebenarnya kita hanya berebut dalam peratusan yang sama. Kenapa kita tidak merebut atau diberi peluang bersaing dengan mereka yang diletakkan dalam kelompok 70 peratus iaitu kaum-kaum lain dan warga asing.

"Kita hanya berebut sesama Bumiputera yang terdiri daripada GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan usahawan orang Melayu," katanya ketika berucap sebagai pencadang kepada usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO di sini.

Mengulas lanjut, Adham turut berkongsi keresahan orang Melayu kini yang dianggapnya tidak selesa malah kecil hati apabila banyak dasar yang digubal kerajaan berkenaan ekonomi bagi mensejahterakan kehidupan umat Melayu dan Bumiputra masih pada tahap yang tidak begitu menyeluruh.

Beliau berkata antaranya termasuk pelaksanaan rasionalisasi subsidi, pemilikan kekayaan dan aset oleh individu terpilih, kemiskinan, penguasaan dan pemilikan produk halal oleh golongan bukan Islam, peluang perniagaan di bandar yang dikuasai oleh pendatang asing dan rumah mampu milik yang tidak mampu dimiliki tetapi cuma mampu ditengok.

"Ketidakselesaan orang Melayu terhadap kerajaan pada hari ini ditambah pula dengan dasar yang sedikit mencurigakan orang Melayu. Model Ekonomi Baru (MEB) yang dikendalikan terus oleh PEMANDU dikatakan kurang ada roh Melayu," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, kerajaan seharusnya tidak hanya menekankan kepada masyarakat berpendapatan tinggi, tetapi mesti memberi tumpuan ke arah merapatkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin serta mengurangkan jurang pendapatan yang ketara di antara kaum.

"Daripada pengamatan saya di negara-negara maju, dalam penyelesaian isu ini, wujudnya kelompok golongan usahawan menengah yang besar skalanya. Justeru, usaha-usaha untuk menambahkan bilangan usahawan menengah Melayu perlu diberi tumpuan khusus dan serius," katanya.

Berita Harian X