Rabu, 19 Oktober 2016 | 12:25pm

Unit Berkuda kawal pantai PD

KETUA Polis negeri, Datuk Jaafar Mohd Yusof pada sidang media selepas majlis penyerahan cek Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) peringkat PDRM Kontinjen Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Polis akan menempatkan Unit Berkuda di beberapa pantai tumpuan di Port Dickson, bermula 2 November ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Jaafar Mohd Yusof, berkata penempatan unit berkenaan membabitkan lapan ekor kuda akan memperkemaskan rondaan di kawasan pantai selain menjadi tarikan baharu bagi pelancong.

"Kita membahagikan lapan ekor kuda Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpangkalan di Cheras, kepada beberapa pantai di sini, termasuk Pantai Teluk Kemang yang sentiasa menjadi pilihan ramai pengunjung.

"Rondaan ini akan dilakukan pada setiap hujung minggu, bermula 2 November depan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan cek Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) peringkat PDRM Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Seramai 84 pesara polis selain ahli keluarga menerima sumbangan antara RM200 hingga RM1,000 bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mereka pada majlis berkenaan.

Jaafar berkata, rondaan itu memberi tumpuan terhadap pencegahan jenayah selain memantau operasi pengendali aktiviti air termasuk bot pisang daripada menceroboh kawasan larangan bagi mengelakkan kemalangan.

Berita Harian X