Rabu, 19 Oktober 2016 | 8:56pm

25,720 graduan terima anugerah pada Konvokesyen UiTM

SHAH ALAM: Seramai 25,720 graduan akan menerima anugerah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-85 yang akan bermula dari 22 Oktober hingga 23 November ini.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata daripada jumlah itu, 70 graduan akan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (1,243), Diploma Lepasan Ijazah (57), Ijazah Sarjana Muda (11,097), Profesional (153) dan graduan diploma (13,100).

Beliau berkata, seramai 137 graduan bakal menerima PhD dan Ijazah Sarjana masing-masing pada sidang pertama yang akan berlangsung pada 22 Oktober ini.

Katanya, di kampus induk UiTM Shah Alam, sebanyak 11 sidang dijadualkan akan berlangsung bermula dari 22 hingga 27 Oktober ini, bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC).

"Istiadat pertama konvokesyen itu akan disempurnakan oleh Tuanku Canselor, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Mu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.


Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said. - Foto NSTP

"Selain itu, UiTM juga akan menyampaikan 12 Anugerah Graduan Terbaik (AGT) kepada 13 graduan terpilih," katanya dalam suatu kenyataan media, yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Dr Hassan berkata, Seri Paduka Baginda merangkap Tuanku Canselor juga berkenan untuk melantik dua Pro-Canselor UiTM yang baharu iaitu Tun Ahmadshah Abdullah dan Tan Sri Safri Awang Zaidell.

Beliau berkata, pelantikan ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai sumbangan besar yang telah disumbangkan oleh kedua-dua tokoh terbabit kepada pembangunan bangsa dan negara.

Katanya, Ahmadshah pernah memegang jawatan Yang Di-Pertua Negeri Sabah ke-9 pada tahun 2003 sehingga 2010, manakala Safri Awang pula pernah memegang pelbagai jawatan di dalam agensi kerajaan dan kini adalah Pengerusi Biro Perkhidmatan Pendidikan, Majlis Islam Sarawak.

"Pada sidang kedua dan seterusnya pula, penganugerahan akan diberikan kepada graduan Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.

"Di UiTM Shah Alam, jumlah graduan yang akan dianugerahkan Ijazah dan diploma masing-masing adalah seramai 10,328 graduan," katanya.

54 dibaca
Berita Harian X