Khamis, 20 Oktober 2016 | 9:09am

Kesilapan saya bolos dua gol - Kolo Toure


REAKSI penjaga gol Celtic, Craig Gordon (kanan) dan Kolo Toure selepas jaringan kedua pasukan Borussia Monchengladbach. - Foto Reuters

GLASGOW: Harapan Celtic meraih tiga mata di laman sendiri dalam aksi Liga Juara-Juara berkecai apabila Borussia Monchengladbach mempamer persembahan hebat dengan kemenangan 2-0 mengatasi juara Scotland itu.

Lawan dari Jerman itu tiba di Glasgow dengan ramai pemainnya cedera dan masih bergelut mendapatkan prestasi terbaik susulan kekalahan kepada Manchester City dan Barcelona pada perlawanan pembukaan Kumpulan C.

Bagaimanapun pasukan Bundesliga itu mendominasi permainan sejak awal apabila mereka menunjukkan asakan tinggi.

Selepas seri tanpa jaringan pada babak pertama, kapten Lars Stindl memberikan gol pendahuluan untuk pelawat pada minit ke-57 selepas memanfaatkan kesilapan dilakukan pertahanan veteran, Kolo Toure.

Bekas pertahanan Liverpool itu sekali lagi melakukan kesilapan pada 20 minit kemudian bagi memberikan Andre Hahn peluang menjaringkan gol kedua dan menyebabkan kekalahan keempat Celtic di laman sendiri daripada 26 perlawanan liga Juara-Juara.

"Saya berusia 35 tahun, tapi masih melakukan kesilapan seperti pemain berusia 16 tahun," kata Toure yang kesal dan bertanggungjawab sepenuhnya di atas kelemahannya yang membolehkan lawan menjaringkan dua gol.

Pengurus Celtic, Brendan Rodgers yang juga beas pengendali Liverpool berkata, tiada apa yang mahu diadukan mengenai keputusan itu.

"Pasukan yang terbaik menang - saya tak rasa itu perlukan sebarang pertikaian," kata Rodgers.

"Pemain saya melakukan segala-galanya tetapi malam ini mereka menentang pasukan hebat dan satu-satunya kekesalan adalah bagaimana dua gol itu terhasil." - AFP

Berita Harian X