Khamis, 20 Oktober 2016 | 8:56pm

Polis cari saksi kes langgar lari di Pandamaran


MAYAT mangsa ditutupi kain selepas kemalangan tengah hari semalam di Jalan Banting, Pandamaran.

KLANG: Polis Trafik Klang Selatan meminta orang awam yang menyaksikan satu kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal yang dilanggar lari sebuah kenderaan, untuk tampil membantu polis.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Klang Selatan, Deputi Superitendan Md Dom Dollah, berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari semalam, penunggang motosikal itu yang menunggang bersendirian dari arah Pelabuhan Klan, maut di tempat kejadian.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian di Jalan Banting, Pandamaran, di sini, mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu yang terbabit dalam kemalangan berkenaan melarikan diri dari tempat kejadian.

"Mangsa yang berusia 22 tahun mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan motosikal Honda EX5 yang ditunggangnya turut mengalami kerosakan.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah di kepala," katanya.

Md Dom berkata, berdasarkan siasatan awal, jalan di lokasi kejadian adalah simpang tiga laluan dua hala dengan dua lorong pergi dan balik selain dipisahkan oleh garis putih putus-putus.

Katanya, pihaknya berdepan kesukaran untuk mengesan pemandu yang melanggar mangsa ekoran tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

"Sehubungan itu, saksi kemalangan atau orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta untuk menghubungi balai terdekat atau pegawai penyiasat Inspektor Sutri Patang di talian 018-9427088," katanya.

Md Dom berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

16 dibaca
Berita Harian X