Jumaat, 21 Oktober 2016 | 10:33pm

Tengku Mahkota Pahang rasmi Muzium Masjid Sultan Abdullah

TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bermesra dengan peserta selepas merasmikan Kongres Integrasi dan Islamisasi Dunia: Fokus Khusus Terhadap Sains Perubatan dan Penjagaan Kesihatan kali Ke 2 di Dewan Utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir
TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bermesra dengan peserta selepas merasmikan Kongres Integrasi dan Islamisasi Dunia: Fokus Khusus Terhadap Sains Perubatan dan Penjagaan Kesihatan kali Ke 2 di Dewan Utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir

PEKAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebentar tadi berkenan merasmikan Muzium Masjid Sultan Abdullah di sini yang diubah suai dengan kos RM10 juta. 

Tengku Abdullah mewakili Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Turut berangkat Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah. Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin. 

Muzium Masjid Sultan Abdullah sebelum ini adalah sebuah masjid tertua di daerah ini yang dibuka sejak tahun 1932 dan diubahsuai menjadi muzium Islam bagi membolehkan pengunjung lebih menghayati warisan Islam. 

Selain itu, pengubahsuaian yang dikendalikan ECERDC terbabit juga adalah bagi meningkatkan sektor pelancongan menerusi kewujudan tarikan terbaru di Bandar Diraja Pekan. 

Antara bahan pameran menarik di muzium berkenaan adalah Batu Nisan Permatang Pasir yang menandakan kedatangan Islam ke Pahang pada tahun 419 hijrah (bersamaan dengan 1028 hijrah) dan alat muzik tradisional daripada dunia Melayu. 

Proses pengubahsuaian bangunan itu mengambil masa dua tahun dan siap sepenuhnya Julai 2015, operasinya diserahkan kepada Lembaga Muzium Negeri Pahang daripada ECERDC malam tadi. 

Sementara itu, Tengku Abdullah menyambut baik usaha menaik taraf Masjid Sultan Abdullah kepada muzium dan menganggapnya sebagai satu usaha mempertahankan institusi keagamaan yang meletakkan ketamadunan Islam pada suatu ketika dahulu. 

"Fungsi masjid amat besar selain daripada tempat beribadat, Muzium Masjid Sultan Abdullah membolehkan masyarakat mencari ilmu berkaitan Islam termasuk kepada mereka yang bukan beragama Islam," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X