Sabtu, 22 Oktober 2016 | 12:24am
KERATAN akhbar BH berkenaan barah payu dara.

Waspada mutasi genetik barah payu dara


WANITA dengan sejarah keluarga barah payu dara perlu menjalani ujian saringan bagi memastikan genetik mereka tidak mengalami mutasi.

Ini berikutan mutasi genetik dikenali sebagai BRCA (gen barah payu dara) 1 dan BRCA 2 (gen barah payu dara 2) dikenal pasti meningkatkan risiko wanita mengalami barah payudara (50 hingga 80 peratus) atau ovari ( 10 hingga 40 peratus).

Dianggarkan lima peratus pesakit barah payu dara berkaitan dengan mutasi BRCA dan empat hingga sebelas peratus lagi dalam kalangan pesakit barah ovari.

Pakar Bedah Endokrin dan Payudara Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Raflis Ruzairee Awang, berkata BRCA 1 dan BRCA2 dikenali sebagai punca utama dalam kalangan wanita yang mempunyai sejarah keluarga barah payudara.


WANITA dengan sejarah keluarga barah payu dara perlu menjalani ujian saringan bagi memastikan genetik mereka tidak mengalami mutasi.

Ujian saringan ke atas ahli keluarga

"Apabila wanita mengalami BRCA 1 dan BRCA 2, mereka berisiko mengalami barah payudara sehingga 50 hingga 80 peratus pada tahap usia lebih muda berbanding wanita lain.

"Sekiranya wanita berkenaan disahkan mempunyai BRCA 1 atau BRCA 2, ujian saringan genetik juga perlu dilakukan ke atas ahli keluarga yang lain," katanya yang ditemui di HKL, baru-baru ini.

Sempena sambutan Pink Oktober bermula 15 sehingga 21 Oktober 2016, HKL menganjurkan pelbagai program termasuk perasmian Pusat Sumber Kanser Payu Dara dan aktiviti kempen jalanan kumpulan motor Harley Davidson di pusat membeli belah terkenal di Kuala Lumpur.

Katanya, saringan dibuat oleh pakar genetik dan ujian dijalankan di makmal di luar negara tetapi kosnya mahal.


SEL barah.

Cegah awal lebih baik

Sekiranya disahkan mempunyai BRCA dan berisiko tinggi mendapat barah payudara, pesakit diberi pilihan sama ada menjalani pembedahan bagi membuang kedua-dua belah payudara iaitu mastektomi atau sebaliknya.

Ini kerana pencegahan adalah lebih baik berbanding merawat walaupun pesakit tidak mengalami sebarang gejala,. Pembedahan berkenaan adalah yang terbaik bagi mengelakkan barah daripada berlaku pada masa hadapan.


KERATAN akhbar BH berkenaan aktres terkenal Hollywood, Angelina Jolie.

"Aktres terkenal Hollywood, Angelina Jolie mengambil keputusan menjalani mastektomi selepas mendapati dirinya mempunyai BRCA bagi mencegah risiko berlaku barah payudara.

"Sekiranya pesakit menolak mastektomi, mereka perlu kerap menjalani pemeriksaan dan pemerhatian yang lebih supaya apabila barah tumbuh, ia boleh dirawat pada peringkat awal," katanya.

Katanya pesakit yang mempunyai BRCA juga berisiko mengalami barah ovari, turut dinasihatkan membuang keseluruhan ovari tetapi ini digalakkan ke atas wanita yang sudah menamatkan perancang keluarga.

Golongan lelaki juga dinasihatkan menjalani ujian genetik untuk BRCA kerana sekiranya positif BRCA, individu terbabit juga terdedah kepada pelbagai risiko barah terutama barah prostat.

INFO:

* Apakah gen BRCA 1 dan 2?

Gen adalah unit maklumat yang memberitahu sel tubuh bagaimana untuk bekerja dan berkembang.

* Apakah mutasi?

Mutasi kepada maklumat genetik menyebabkan sel tidak dapat berfungsi dengan sempurna.

* BRCA 1 dan 2 berkaitan dengan barah payu dara dan ovari.

* Setiap manusia dilahirkan dengan dua salinan gen BRCA 1 dan BRCA 2.

- Satu salinan daripada bapa

- Satu salinan daripada ibu

- Sekiranya ibu atau ayah mengalami mutasi gen, 50 peratus peluang untuk anak mendapat salinan mutasi.

* Jenis barah payudara paling kerap ditemui:

1. Ductal carcinoma - Barah yang berasal daripada saluran susu

2. Lobular carcinoma - Barah berasal daripada barah dari kilang susu

* Rawatan peringkat awal:

- Pembedahan membuang tumor

- Pembedahan membuang kelenjar bawah ketiak

bagi mengelakkan barah merebak ke kelenjar

*Rawatan susulan:

Bergantung kepada keputusan makmal selepas pembedahan dan tahap barah:

- Terapi kemoterapi

- Terapi hormon

- Terapi sasaran

* Individu berisiko mendapat barah:

- Wanita yang tidak menyusu anak

- Wanita yang mendapat anak pertama pada usia muda bawah 30 tahun

*Barah payudara adalah barah nombor satu di negara ini.

*Tahap kesedaran memeriksa sendiri payudara masih sangat rendah

pesakit hanya mengenal pasti barah apabila sudah berada pada tahap akhir iaitu tiga dan empat.

Berita Harian X