Isnin, 24 Oktober 2016 | 8:46pm
SEPANG 04 MAY 2016. Sesi pandu uji litar selepas dibaikpulih di Litar Antarabangsa Sepang. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.

Moto3: Pelumba misteri dapat tiket wild card

KUALA LUMPUR: Kejuaraan Motosikal Grand Prix (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini, akan menyaksikan penampilan pelumba misteri yang akan bersaing atas tiket 'wild card'.

Identiti pelumba itu yang masih dirahsiakan, dikatakan akan menggantikan pelumba pasukan Peugeot MC Saxoprint, John Mcphee dalam kategori Moto3.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, berkata nama pelumba berkenaan hanya akan diumumkan selepas mendapat persetujuan daripada pasukan berkenaan.

Beliau berkata pelumba berkenaan akan menggantikan tempat Mcphee yang tidak dapat beraksi pada pusingan ke-17, selepas mengalami kemalangan ketika perlumbaan di Litar Philip Island, Australia, semalam.

"Pasukan John Mcphee menghubungi saya untuk mencari pelumba Malaysia yang boleh berlumba minggu ini sebagai pelumba wild card. Saya berharap dapat persetujuan pelumba itu pada hari ini.

"Kita akan umumkan esok, sekarang ramai tidak boleh menunggang Moto3, tetapi ada seorang pelumba ini, kita mahu beri beliau peluang dan menguji kemampuan dirinya dalam perlumbaan itu nanti," katanya kepada pemberita pada sesi minum petang bersama pelumba SIC Racing Team, Adam Norrodin dan Jakub Kornfeil di The Apartment, KLCC di sini.

Razlan, sebelum ini pernah mendedahkan tiada penampilan pelumba wild card negara pada MotoGP Malaysia bagi saingan kategori Moto3, berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Razlan menegaskan sekiranya pelumba misteri itu bersetuju dan berjaya mempamerkan aksi terbaik pada perlumbaan MotoGP kali ini, pihaknya tidak teragak-agak menyerap pelumba berkenaan dalam program pembangunan SIC pada tahun depan.

Razlan berkata tiga nama disenarai pendek, namun beliau enggan mendedahkan identiti pelumba ketiga yang dikatakan tidak pernah menyertai perlumbaan kategori Moto3.

"Ini peluang keemasan untuk pelumba Malaysia. Tiga pelumba disenarai pendek, Amirul Afiq Azmi, Mohd Helmi Azman (pelumba Cub Prix) dan seorang lagi saya tidak boleh beritahu lagi," katanya.

Berdasarkan perkembangan terkini perlumbaan tempatan, Kasma Daniel Kasmayudin dilihat sebagai calon yang hangat diperkatakan layak menerima tiket wild card pada perlumbaan kali ini.

Kasma Daniel, 16, yang mewakili pasukan Petronas Yamaha Maju Motor muncul juara keseluruhan kategori CP130 Cub Prix AAM Malaysia Petronas, semalam.

Pelumba kelahiran Skudai, Johor itu adalah pelumba tempatan yang dipilih Yamaha Motor Co. Ltd. untuk berguru dengan pelumba terbaik dunia, Valentino Rossi menerusi Kem Master, VR46 Riders Academy pada Julai lepas. - BERNAMA

Berita Harian X