Selasa, 25 Oktober 2016 | 7:41pm

Polis buru 7 suspek samun pengurus tapak pembinaan


SEORANG suspek kes samun penurus tapak pembinaan diserahkan kepada polis. - Foto Ihsan Pembaca

KUALA LANGAT: Seorang pengurus tapak pembinaan kerugian kira-kira RM250,000 akibat disamun lapan lelaki, dipercayai warganegara Indonesia di Bandar Saujana Putra, Sungai Jarom, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Mohd Zailan Tasir, berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa dikatakan sedang membayar gaji pekerja di sebuah tapak pembinaan sebelum didatangi tiga lelaki yang bersenjatakan pisau.

"Ketika kejadian, semua suspek tiba di tapak pembinaan rumah kedai tiga tingkat itu dengan menaiki empat buah motosikal berlainan.

"Tiga daripada suspek naik ke tingkat dua premis itu dan menyamun mangsa.

"Bagaimanapun, ketika suspek cuba melarikan diri, pengurus serta beberapa pekerja tapak pembinaan itu mengejar mereka dan menahan seorang daripada suspek apabila dia terjatuh dari motosikal," katanya ketika dihubungi.

Mohd Zailan berkata, berdasarkan kenyataan awal daripada mangsa, suspek dipercayai mengekorinya ketika beliau keluar dari sebuah bank di Klang.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan tujuh lagi suspek yang berjaya melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan, manakala wang yang disamun belum ditemui.

Berita Harian X