Selasa, 25 Oktober 2016 | 11:01pm
Farah Ayuni Yahya.

Impian Farah Ayuni jadi kenyataan

KUANTAN: Penjaga gol, Farah Ayuni Yahya, boleh menarik nafas lega selepas impiannya untuk kembali menyarung jersi skuad hoki wanita kebangsaan buat kali pertama dalam tempoh lima bulan menjadi kenyataan.

Sebentar tadi, ketua jurulatih Dhaarma Raj Abdullah, menyenaraikannya dalam barisan 18 pemain terakhir untuk mengharungi kempen Trofi Juara-Juara Asia di Singapura, yang menyingkap tirainya Sabtu ini.

Farah Ayuni, 27, sebelum ini terpaksa diketepikan bersama arkitek tengah Noor Hasliza Md Ali daripada skuad Malaysia Tigress untuk tempoh sembilan bulan bagi membolehkan mereka menjalani kursus asas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, kedua-duanya yang diberikan 'lampu hijau' untuk kembali menyertai latihan skuad negara tidak menunggu lama untuk meyakinkan Dhaarma Raj bagi disenaraikan semula biarpun tidak dibawa ke Liga Hoki Australia (AHL), awal bulan ini.

"Hasliza ini seorang pemain tengah yang berpengaruh sementara Ayuni , semua sedia maklum pengalamannya sebagai penjaga gol nombor satu negara sukar digugat buat masa ini," kata Dhaarma ketika dihubungi sebentar tadi.

Selain kedua-dua tonggak pasukan ranking ke-21 dunia itu, Dhaarma Raj turut membuat kejutan memanggil dua pemain muda iaitu Noraslinda Said, 20 dan Zafirah Said, 18, dengan alasan mahu memberikan mereka peluang dan pendedahan pada pentas tertinggi.

"Zafirah dan Noraslinda kedua-duanya boleh diketengahkan di pentas antarabangsa kerana memiliki bakat yang besar.

"Dengan pemilihan empat pemain ini, saya terpaksa menggugurkan empat pemain yang beraksi di AHL," tambah bekas pengendali skuad Projek 2013 itu.

Empat pemain menjadi 'mangsa korban' itu adalah penjaga gol Siti Noor Hafiza Zainordin, Nor Syafiqah Mohd Zain, Fatin Naimah Zaki dan Nurul Syafiqa Mat Isa.

Mengulas mengenai sasaran, Dhaarma Raj, berkata beliau hanya menyasarkan untuk mengelak daripada menghuni tangga tercorot daripada saingan membabitkan lima pasukan itu.

Jelasnya, ini kerana Malaysia Tigress adalah pasukan ranking terendah, ke-21 dunia berbanding China (kelapan), Korea Selatan (kesembilan), Jepun (ke-10) dan India (ke-12).

"Memang pun kita tidak diletakkan sebarang sasaran pada Trofi Juara-Juara Asia tetapi kami sudah bertekad untuk buat terbaik dan menanam impian untuk lakar satu kejutan terhadap empat pasukan yang berstatus Olimpik ini."

Senarai 18 pemain:

Penjaga gol: Farah Ayuni Yahya, Mas Huzaimah Md Aziz

Pertahanan: Juliani Mohamad Din, Siti Nur Amarina Ruhani, Siti Shahida Saad, Raja Norsharina Shabuddin, Azlin SumantriTengah: Surizan Awang Noh, Noraini Abd Rashid, Fatin Shafika Mohd Sukri, Wan Norfaiezah Sauiti, Nor Hasliza Ali

Penyerang: Hanis Nadiah Onn, Nurul Nabihah Mansur, Fazilla Sylvester Silin, Siti Rahmah Othman, Noraslinda Said, Zafirah Aziz

Berita Harian X