Rabu, 26 Oktober 2016 | 11:06pm

Hoki: Korea Selatan turut mara separuh akhir


Pemain Jepun, Seren Tanaka (kanan) diasak pemain Korea Selatan, Jongsuk Bae dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia kali ke 4 di Stadium Hoki Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Korea Selatan muncul pasukan ketiga yang layak ke peringkat separuh akhir Kejohanan Hoki Trofi Juara-juara Asia 2016 apabila menjinakkan Jepun dengan keputusan 4-3 pada di Stadium Hoki Kuantan di sini, malam ini.

Pada perlawanan sebelum ini, Korea Selatan mencatat keputusan seri 1-1 dengan Jepun, tewas kepada Pakistan 0-1, seri dengan India 1-1 dan menewaskan China 5-3.

Korea Selatan akan melengkapkan perlawanan carta enam pasukan dengan menentang tuan rumah, Malaysia pada malam esok.

Dalam perlawanan malam ini, Korea Selatan terlebih dahulu merobek gawang Jepun menerusi Kim Juhun melalui jaringan padang seawal minit keempat.

Tersentak dengan jaringan itu, Jepun bangkit untuk menjaringkan gol penyamaan melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Murata Kazuma pada minit kelapan.

Di babak kedua, Korea Selatan menjarakkan keputusan apabila meledakkan gol kedua menerusi kaptennya, Jung Manjae dengan gol padang pada minit ke-32.

Namun, Kapten Jepun, Sakamoto Hiroki berjaya menjaringkan gol padang untuk menewaskan penjaga gol, Lee Seyoung pada minit ke-44 menjadikan keputusan terikat 2-2.

Giliran Jepun pula mendahului selang seminit selepas itu apabila pemainnya, Tanaka Kenta berjaya mencipta jaringan ketiga melalui gol padang.

Korea Selatan yang enggan mengalah menyamakan kedudukan pada minit ke-46 dengan gol padang menerusi Kim Seongkyu.

Kapten Korea Selatan, Jung Manjae sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Jepun apabila dia mencipta gol keempat melalui gol padang untuk menewaskan penjaga gol lawan, Chida Takumi.

Keputusan 4-3 yang berpihak kepada Korea Selatan kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

-- BERNAMA

Berita Harian X