Khamis, 27 Oktober 2016 | 12:03am

Menyelami lautan mistik dan sufi Maulana Rumi


BUKU Rumi and His Friends.

RUMI and His Friends: Stories of the Lovers of God yang diterjemah oleh Camille Adams Helminski bersama-sama Susan Blaylock hanyalah sebahagian fragmen daripada karya asal Sams Al-Din atau lebih dikenali sebagai Aflaki Arefi, iaitu Kashfu al-Asrar wa Matla'u al-Anwar.

Bagaimanapun, naskhah yang lebih dikenali sebagai Manaqib Al-'Arifin ini, sudah cukup untuk menghantar pembaca meredah samudera mistik ulama besar, ahli sufi dan penyair agung, Maulana Jalaluddin Rumi yang mewariskan adikaryanya, Mathnawi serta Diwan Shams At-Tabriz.

Dunia cinta hakiki mistik Maulana Rumi memang terlalu dalam untuk diselami dan luas terbentang untuk dilayari, tetapi terjemahan Helminski ini kiranya dapat mengungkapkan bayangan daripada kehidupan tokoh besar yang turut mendapat jolokan sebagai Sultan al-Muhibbin atau raja kepada pencinta hakiki.

Kisah Maulana Rumi yang dipotong-potong tanpa terlalu terikat pada kronologi seperti layaknya sebuah biografi atau memoir itu, seolah-olah membawa nafas yang dihirup oleh beliau seperti diungkapkan dalam puisinya.

Kesimpulan hidupku tidak lebih daripada tiga kata: Pertama, aku mentah, lalu dimasak, akhirnya dibakar.

Tulis gaya hagiografi

Memang cara penulisan Aflaki dalam Manaqib Al-'Arifin sering dianggap menggunakan gaya

hagiografi sehingga cenderung memperbesar-besarkan ketokohan dan dilabelkan sebagai tidak kritikal, tetapi bagi pembaca memahami realiti sufi, pastinya dapat menceduk hikmah yang bukan sedikit.

Ia seperti membaca karya Tazkiratul Auliya oleh Sheikh Fariduddin Attar sehingga dapat menyelami di sebalik simbol sufi yang sukar diterima secara akal rasional, tetapi realitinya tidak mustahil sekiranya membaca dari pandangan alam Islam khususnya berkaitan epistemologi ilmu dalam agama ini.

Kembara sufi buku ini bermula dengan bapa kepada Maulana Rumi, iaitu Sheikh Bahauddin Walad yang meninggalkan kota Balkh (Afghanistan) sebelum dibumihanguskan oleh Mongol dan singgah di Nishapur untuk bertemu dengan Attar, sebelum ketentuan perjalanannya berakhir di Konya, iaitu kota di Turki sekarang ini.

Attar yang menilik dengan mata batin memberikan isyarat kepada masa depan Rumi yang masih kecil apabila menyifatkan anak-beranak terbabit ibarat laut yang mengekori tasik, iaitu merujuk kepada Sheikh Bahauddin Walad yang pada ketika itu dianggap sebagai sultan ulama.

Selepas kematian bapanya, pendidikan kerohanian Maulana Rumi ditangani oleh Sayyid Burhanuddin al-Muhaqqiq, sekali gus mempersiapkan tokoh itu bukan sahaja untuk menjadi sarjana besar setaraf Imam al-Ghazali, bahkan sebagai ulama hak yang bakal mengecap cinta Tuhan yang hakiki.

Di sinilah hubungannya dengan Shams at-Tabriz melonjakkan kedudukan Maulana Rumi pada singgahsana keagungan bermula dengan pertemuan mistik dengan soalan yang menggugah, iaitu perbandingan antara Nabi Muhammad SAW dengan tokoh sufi, Abu Yazid Bistami.

Selain sorotan dan kata-kata hikmah Shams at-Tabriz, biografi ulama Konya turut disentuh secara tidak langsung sehingga memberikan gambaran terhadap kedudukan kota utama Kesultanan Seljuk itu.

Buku ini juga menyusuri latar khalifah kepada madrasah kerohanian Maulana Rumi, iaitu Salahuddin Zarkubi dan Husamuddin Chelebi yang menyarankan penghasilan Mathnawi sebanyak enam jilid, sebelum menelusuri pewaris tokoh itu, anaknya, Sultan Walad serta cucunya, 'Arif Chelebi.

Membaca terjemahan Manaqib Al-Arifin ini memang memerlukan pengetahuan terhadap disiplin dan istilah dalam tasawuf serta memiliki pandangan alam Islam serta kesedaran terhadap epistemologi atau teori ilmu dalam agama.

Bagaimanapun, lebih penting lagi, pembaca perlu memiliki sikap tawaduk dan meniru resmi padi atau bertindak seperti gelas yang dikosongkan daripada ego kerana Maulana Rumi berkali-kali menekankan makna ilmu hakiki dan kedudukan golongan arifin yang mendapat makrifat daripada Allah.

Justeru, beliau juga pernah mengalunkan puisi yang penuh hikmah ini, "Ketika akal rasional baru selesai mengikat tali untanya, cinta sudah pun selesai tawaf di sekeliling Kaabah."

Berita Harian X