Khamis, 27 Oktober 2016 | 12:37am

SPELT-C 2016 bantu guru tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar

Sebahagian daripada 500 guru sekolah rendah dan menengah dari seluruh Pahang bergambar kenangan selepas majlis penutup Persidangan Guru-guru Bahasa Inggeris seluruh Pahang bertempat di Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Pekan. - Foto Ainal Marhaton Abd Ghani

PEKAN: Persidangan Guru Bahasa Inggeris (SPELT-C) 2016 anjuran Yayasan Pahang (YP) dapat membantu meningkatkan program intervensi di sekolah sekali gus meningkatkan penguasaan bahasa itu oleh pelajar.

Seramai 500 guru sekolah rendah dan menengah dari seluruh negeri menyertai persidangan yang julung kali diadakan YP yang mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Pahang.

Dua penceramah jemputan, Profesor Dr Zuraidah Mohd Don dari Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM) dan Profesor Dr Jayakaran Mukundan dari Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa, Universiti Putra Malaysia (UPM) hadir menyampaikan ucaptama dengan membentangkan kepentingan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar peringkat rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengurus Besar YP, Datuk Mahmud Mohd Nawawi berkata, program itu bertujuan menggalakkan guru mengambil inisiatif mewujudkan rangkaian kerja kalangan profesional dan guru bagi meningkatkan tahap penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris kalangan pelajar.

"Ia juga boleh dijadikan platform kepada cendekiawan, pendidik dan guru di negeri ini berkongsi idea dan bertukar pengalaman dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) bahasa Inggeris," katanya di sini, pada Rabu.

Persidangan itu bertemakan Gerbang Pendidikan Berkualiti Bahasa Inggeris: Inovasi, Kreatif dan Perkongsian Pintar.

Berita Harian X