Khamis, 27 Oktober 2016 | 12:30pm

Pertahanan, perdagangan, antara aspek perbincangan PM ke China

KUALA LUMPUR: Kerjasama dua hala bidang pendidikan, pertahanan, pertanian, perdagangan dan pelaburan adalah aspek yang akan dibincangkan Datuk Seri Najib Razak dalam rangka lawatan rasminya ke China, dari 31 Oktober hingga 6 November depan.

Menerusi kenyataan, Kementerian Luar, menjelaskan lawatan rasmi ketiga Perdana Menteri ke China, sejak 2009 itu turut terarah kepada bidang pelancongan dan kebudayaan, sains dan teknologi, serta hubungan antara rakyat dengan rakyat.

Beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan China akan dimeterai atau ditukar semasa lawatan berkenaan dengan disaksikan Najib dan Perdana Menteri China, Perdana Menteri China, Li Keqiang.

"Selain mesyuarat dua hala, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan ahli perniagaan terkemuka Malaysia dan China, selain menyampaikan ucaptama di Forum Perniagaan Malaysia-China.

"Perdana Menteri akan menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian perniagaan antara syarikat Malaysia dan China, selain bertemu dengan komuniti serta pelajar Malaysia di China.

"Pertukaran lawatan yang aktif merangkumi semua peringkat antara Malaysia dan China adalah agenda utama dalam memperkukuhkan ikatan persahabatan Malaysia-China.

"Malaysia optimistik lawatan ini bukan sekadar memperkukuhkan hubungan kerjasama dua hala Malaysia dan China, malah merangkumi usaha bersepadu dalam menangani pelbagai isu serantau serta antarabangsa," katanya, hari ini.

Ketibaan Perdana Menteri akan diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan beberapa menteri kabinet, menteri besar, ketua menteri serta pegawai kanan kerajaan daripada kementerian dan agensi berkaitan.

Majlis sambutan rasmi di Great Hall of the People pada 1 November antara lain akan merangkumi mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin dan majlis makan malam.

Najib turut dijadual mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden China, Xi Jinping pada 3 November.

Malaysia dan China ketika ini menikmati hubungan dua hala yang kukuh, selain kerjasama merangkumi bidang utama termasuk politik, ekonomi, perdagangan, pertahanan dan keselamatan hasil Perkongsian Komprehensif Strategik.

China sehingga kini adalah rakan dagang terbesar bagi Malaysia sejak 2009, manakala Malaysia adalah rakan dagang kelapan terbesar bagi China secara keseluruhan.

Jumlah perdagangan dengan China ialah 15.8 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia pada 2015, iaitu USD59.12 bilion (RM230.89 bilion).

Perdagangan Malaysia-China untuk tempoh Januari hingga Ogos 2016 pula mencatatkan peningkatan 1.4 peratus kepada USD36.59 bilion (RM149.33 bilion) berbanding tempoh sama pada 2015.

Bagaimanapun, jumlah eksport menurun 9.6 peratus kepada USD14.45 bilion (RM58.93 bilion), manakala import meningkat 10.0% kepada USD22.15 bilion (RM90.40 bilion) bagi tempoh sama.

Berita Harian X