Khamis, 27 Oktober 2016 | 3:20pm

Pelajar Tingkatan Dua maut motosikal terbabas

TAIPING: Seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Aur dekat sini maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Kilometer (KM) 3.0 Jalan Changkat Jering, Air Kuning, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa Danial Syakirin Adrus Saiadi, 14, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera dan patah leher.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas mengikuti program di sekolahnya.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah Changkat Jering menghala ke Taman Pengkalan Aur terbabas sendiri selepas terlanggar pembahagi jalan.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping (HT) untuk bedah siasat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita Harian X