Khamis, 27 Oktober 2016 | 8:46pm

Shell setuju taja MotoGP Malaysia hingga 2020


GAMBAR fail, saingan Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto AFP

SEPANG: Syarikat gas dan petroleum Shell Malaysia (Shell) bersetuju melanjutkan tajaan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (GP) Malaysia untuk tempoh empat tahun lagi.

Shell sudah menaja perlumbaan berkenaan untuk tujuh daripada lapan musim sejak 2009 dan kali ini lanjutan kontrak itu bakal menyaksikan tajaan sehingga tahun 2020.

"Kami sangat gembira apabila menjadi penaja utama untuk perlumbaan GP Malaysia hingga 2020," kata pengurus besar pemasaran cecair pengguna, Carol Chen.

"Teknologi Shell dalam MotoGP diuji pada tahap kemuncak dalam teknologi motosikal dan kami mampu membawanya menerusi produk jenama seperti Shell Advance dan Shell V-Power sebagai hasilnya.

"Persetujuan baharu ini juga menunjukkan komitmen kami kepada Malaysia yang menjadi sebahagian daripada sejarah 125 tahun kami di negara ini.

"Jadi ia adalah sesuatu yang sangat menggembirakan bagi kerjasama masa depan dalam sukan permotoran ini."

Dalam pada itu, pemegang hak MotoGP iaitu Dorna Sports menerusi Pengarah Urusan Area Komersialnya, Pau Serracanta, berkata: "Minggu MotoGP di Sepang sentiasa menjadi sesuatu yang istimewa dan mendapat sambutan menakjubkan dalam sukan permotoran dua roda.

"Dan apabila melihat gergasi global seperti Shell kembali selaku penaja utama, ia adalah sesuatu yang menarik buat Shell, MotoGP dan juga Dorna Sports."

Bagaimanapun, kontrak penganjuran GP Malaysia antara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan juga Dorna yang tamat tahun ini hanya akan diketahui, hujung minggu ini.

22 dibaca
Berita Harian X