Jumaat, 28 Oktober 2016 | 10:57pm
SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V diiringi Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Ismail Petra bersama lebih 21,000 peserta menyertai program Walkaton Diraja Kelantan, Let's Go With Me 2016 berjalan kaki sejauh 7 kilometer, bermula dan berakhir di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V diiringi Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Ismail Petra bersama lebih 21,000 peserta menyertai program Walkaton Diraja Kelantan, Let's Go With Me 2016 berjalan kaki sejauh 7 kilometer, bermula dan berakhir di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

Rakyat Kelantan 'jalan kaki' bersama Sultan Muhammad V


SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V diiringi Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Ismail Petra (tengah) bersama lebih 21,000 peserta menyertai program Walkaton Diraja Kelantan, Let's Go With Me 2016 berjalan kaki sejauh 7 kilometer, bermula dan berakhir di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Acara Walkathon D'Raja Kelantan 2016 sekali lagi memberi peluang kepada rakyat negeri ini menyertai acara berjalan kaki sejauh tujuh kilometer (km) bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di sini, sebentar tadi.

Dengan bertemakan 'Let's Go With Me', acara ini telah menarik penyertaan kira-kira 21,000 orang dari dalam dan luar negeri ini.

Sultan Kelantan tiba kira-kira jam 9.30 malam sebelum berkenan melakukan pelepasan peserta yang diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Yang turut hadir dan berjalan bersama Sultan Kelantan pada acara itu, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra; Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Abdul Aziz; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.

Acara berjalan kaki ini diketuai baginda bermula dari Stadium Sultan Muhammad IV melalui Jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Hamzah, Jambatan Sultan Yahya Petra, Pasir Pekan sebelum berakhir di stadium yang sama.

Peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut universiti, kakitangan kerajaan dan swasta serta orang awam, datang seawal jam 7 malam untuk menjayakan acara walkathon bersama Sultan Kelantan.

Seorang peserta wanita, Hui Leng, 23, berkata beliau menyertai acara ini bersama rombongan kira-kira 40 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini.

"Ini kali pertama saya sertai dan amat teruja kerana dapat berjalan kaki beramai-ramai terutama yang paling istimewa bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V," katanya ketika ditemui sebelum memulakan perjalanan sejauh tujuh kilometer.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Hashim 1, Abdul Aziz Mat, 48, pula berkata dia turut menyertai acara walkathon itu bersama ahli keluarga.

Katanya, mereka sekeluarga menyertai program itu kerana diadakan pada sebelah malam.

"Anak-anak saya yang berumur di antara 17 hingga tiga tahun begitu teruja untuk menyertai acara tahunan ini.

"Bagi saya bukan mudah untuk bersama Tuanku Sultan dalam aktiviti santai sebegini," katanya yang menetap di Kampung Bukit Marak.

Berita Harian X