Sabtu, 29 Oktober 2016 | 12:03am
Bahan-bahan.

Kari udang nanas olahan cita rasa Thai

AHMED Zaki Harun menunjukkan kari udang nanas. - Foto Munira Abdul Ghani.

MASAKAN Melayu kebanyakannya mempunyai cita rasa pedas, namun ia tetap digemari kerana rasanya yang enak.

Malah, ia digemari dan menjadi pilihan pelbagai bilangan masyarakat kerana rasanya yang sedap, mampu meningkatkan selera serta boleh membuatkan keinginan untuk menambah lagi.

Lebih memberikan kepuasan apabila hidangan seenak itu dimakan bersama bagi mengeratkan kasih sayang kerana dinikmati seisi keluarga.

Sebenarnya, kombinasi ramuan rempah ratus digunakan memberikan keistimewaan pada makanan Melayu. Apatah lagi ia disediakan cef handal, menjadikan resipi ikan udang nanas wajar cuba di rumah.

Olah masakan Thai

Bagi Cef Sous, Hotel Aloft Kuala Lumpur Sentral, Ahmed Zaki Harun, beliau mengolah masakan Thai itu dengan cita rasa sendiri, menjadi masakan udang lebih enak dinikmati.

"Resipi ini diambil daripada masakan Thai tetapi diubah resipinya mengikut cita rasa tempatan. Kari udang nanas, mempunyai rasa istimewa kerana kuahnya cukup rasa iaitu ada rasa pedas, masam dan manis, dimasak pula dengan udang harimau bergred A.

"Ramuannya masih menggunakan bahan asas seperti cili api, lengkuas, kunyit, bawang, nanas dan santan tetapi cara penyediaannya agak berbeza memberikan rasa pedas berlemak dan sedikit masam. Inilah keaslian rasa sebenar, membuatkan resipi istimewa begitu lazat dan menggiurkan," katanya.

Kari udang nanas

Bahan-bahan:
* 6 ekor udang harimau gred A King tiger prawn
* 30 gram (g) lengkuas
* 4 biji cili merah
* 40 g bawang merah
* 20 g bawang putih
* 4 batang serai
* 20 g belacan
*10 g serbuk kunyit
* 60 mililiter (ml) santan
* 100 g nanas
* 4 keping daun limau purut
* 200 ml air rebusan makanan laut (perasa)
* 1 biji limau nipis (jus)
* Sedikit garam dan serbuk perasa

Cara penyediaan;

1. Buangkan keseluruhan kulit nanas, potong kepada beberapa bahagian yang besar.

2. Kisarkan lengkuas, cili merah, bawang merah, bawang putih, serai dan belacan sehingga sebati

3. Masukkan dalam periuk, panaskan minyak dan tambah pes yang dikisarkan tadi.

4. Kacau hingga naik bau.

5. Masukkan udang dan masak hingga kemerahan, kemudian angkat udang ke bekas lain.

6. Ambil nanas dan perah hingga mengeluarkan jus. Tapis dan masukkan perahan itu ke dalam periuk.

7. Masukkan air rebusan makanan laut untuk memberikan rasa manis dan tambah garam secukup rasa. Masukkan daun limau purut.

8. Matikan dapur, perasakan dengan jus limau nipis. Tambahkan santan untuk memberikan rasa istimewanya.

Info: Petua hilangkan hanyir udang;

* Ketika membersihkan udang, gunakan air yang dicampur dengan asam jawa sebagai air basuhan.

* Jika tiada asam jawa, boleh gunakan air perahan limau nipis.

* Bukan saja hilangkan hanyir, tetapi cara itu menyedapkan rasa udang.

Berita Harian X