Sabtu, 29 Oktober 2016 | 12:05am

Godam secara sah menerusi Bugcrowd

Kuala Lumpur:  Projek Aplikasi Keselamatan Sumber Terbuka (OWASP) Malaysia memperkenalkan  program menggodam secara sah dikenali Bugcrowd, bertujuan mengawal kegiatan menggodam yang menyalahi undang-undang dalam kalangan belia negara ini.

Program Bugcrowd dipelopori Casey Ellis dari Australia sejak empat tahun lalu, menarik minat beberapa negara termasuk Malaysia melaksanakan modul sama.

Objektif program penggodam sah adalah mengenal pasti kelemahan sistem sesebuah organisasi menerusi kerjasama dan persetujuan dua hala dalam satu pertandingan diadakan.

Wakil program yang juga komuniti OWASP, Ahmad Ashraff Ahmad, berkata modul program adalah organisasi membenarkan peserta pertandingan menggodam sistem komputer mereka dalam tempoh masa ditetapkan.

Katanya, peserta yang berjaya menggodam akan menerima hadiah berupa wang tunai dan sijil, manakala organisasi berkenaan pula akan meningkatkan lagi sistem keselamatan komputer mereka.


PROJEK Aplikasi Keselamatan Sumber Terbuka (OWASP) Malaysia

PERTANDINGAN menggodam sistem komputer dalam tempoh masa ditetapkan dan peserta yang berjaya menggodam akan menerima hadiah berupa wang tunai dan sijil.

"Peserta akan diberi tunjuk ajar oleh komuniti OWASP tentang perundangan, keselamatan keselamatan siber, kesan ancaman siber kepada negara dan lain-lain.

"Program ini adalah langkah terbaik mengawal dan memantau aktiviti pencerobohan, godam dan serangan siber yang mengancam keselamatan orang lain," katanya kepada BH.

Konsultan Keselamatan Siber berkenaan menjelaskan, organisasi di bawah projek Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Bank Negara memberi platform untuk peserta program menggodam sistem mereka setahun sekali.

Katanya, ia adalah ujian penilaian paling efektif dan berkesan di samping mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan keselamatan ruang siber organisasi.

"Mulai tahun ini, peserta program Bugcrowd akan dibawa menyertai pertandingan menggodam peringkat antarabangsa melalui Cyber Lympic Asia

"Kesemua peserta akan berentap dengan peserta Asia lain untuk menjuarai pertandingan ini sebelum dibawa ke peringkat seterusnya di Amerika Syarikat.

"Ia terbuka kepada sesiapa sahaja menerusi https://bugcrowd.com penggumpulan mata ganjaran berdasarkan berapa banyak aplikasi yang digodam," katanya.

LAMAN web bugcrowd.com
Berita Harian X